Digital ‘DNA’ baharu koperasi

Masa Membaca:6 Minit, 4 Saat

SERI NEGERI 6 Mac – Selera pengguna yang sudah berubah, perkembangan teknologi yang amat pantas membuka peluang perniagaan baharu dalam bentuk digital yang mana semuanya berada di hujung jari.

Berkongsi vista atau pandangannya Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, dunia digital amat luas berikutan itu pelbagai bidang perniagaan baharu boleh diwujudkan dengan memanfaatkan platform media sosial serta aplikasi yang kini tersebar luar di dunia siber.

Sebagai seorang berpandangan jauh Ab Rauf berharap, proses digitalisasi yang amat pesat ini dimanfaatkan oleh orang Melaka dan diperkasakan dengan bantuan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Bagi beliau koperasi adalah satu perniagaan yang diuruskan sendiri oleh masyarakat mengikut acuan mereka dan pada akhirnya pulangan, keuntungan serta faedah daripada apa diusahakan akan kembali kepada mereka.

TEROKA BISNES P-HAILING

Paling menarik perhatian beliau adalah perkhimatan penghantaran atau p-hailing yang kini amat popular bukan sahaja di negara ini sebaliknya seluruh dunia kerana selera pengguna yang lebih selesa membuat perbelian secara dalam talian membabitkan pelbagai produk daripada keperluan harian kepada barangan elektronik dan gajet.

Katanya capaian jalur lebar ketika ini yang semakin luas tidak lagi mengehadkan perkhidmatan berkenaan, berikutan itu pasar raya di hujung jari bukan sesuatu yang mustahil lagi.

“Masyarakat lebih selesa guna aplikasi untuk melakukan pembelian, tidak perlu lagi ke pasar raya kerana barang boleh dihantar ke rumah. Berikutan itu SKM perlu memainkan peranan untuk meneroka bidang perniagaan digital ini, rebutlah peluang yang terbuka.

“Apabila dilaksanakan ia akan membantu memajukan masyarakat di negeri ini dan apa yang pasti anak muda juga mendapat peluang untuk menjana pendapatan.

“Benar ini adalah bidang baharu bagi kita, tetapi jika ditubuhkan kita boleh bersaing dengan syarikat multinasional yang mendominasi bidang perniagaan ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Seri Negeri.

KOPERASI TERUS BERJAYA SELEPAS 100 TAHUN

Koperasi di Malaysia sudah berusia 100 tahun dan sepanjang tempoh itu banyak perubahan berlaku termasuk penubuhan koperasi berasaskan pertanian yang semakin popular dan mendapat tempat dalam kalangan ‘Pak Tani’ di Negeri Melaka.

Antara nama besar koperasi memainkan peranan dalam pengeluaran makanan di Negeri Melaka adalah Koperasi Komong Jasin Berhad, mengusahakan projek tanaman jagung mutiara seluas 46 ekar di Chinchin dan ternakan ayam kampung kacuk oleh Koperasi Keluarga Haji Sharief Melaka Berhad kini berkapasiti 5 buah reban dengan 20,000 ayam.

Menyusul selepas ini adalah Pusat Pengumpulan Hasil Ladang (PPHL) di Kuala Sungai Baru yang pertama di Melaka oleh Koperasi Usahawantani Alor Gajah Melaka Berhad berfungsi mengumpul hasil petani untuk dipasarkan.

“Perniagaan industri pertanian ini asasnya sudah ada, setiap insan perlu makan. Permintaan terhadap makanan amat tinggi jadi jika diusahakan pulangannya pasti amat baik untuk koperasi.

“Selain itu antara koperasi wajar dicontohi adalah Projek Arrahnu oleh Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka di Masjid Tanah, pembangunan ‘DC’ atau ‘distribution centre’ oleh Koperasi kakitangan Penjara Melaka Berhad di Taman Tambak Paya.

“Projek-projek berskala besar ini dikategorikan sebagai ‘New Strategic Initiatif (NSI) yang menjadi perhatian dan mendapat bimbingan sewajarnya daripada SKM Negeri Melaka bersama agensi berkaitan,” katanya.

MANFAAT KEPADA RAKYAT DAN KOPERASI

Ab Rauf berkata dengan menyertai koperasi ahli bukan sekadar menerima dividen tahunan, sebaliknya mereka menikmati pelbagai lagi faedah termasuk pembelian barangan pada harga istimewa.

Katanya menerusi koperasi anggota juga dapat menyelesaikan masalah bersama atau ‘common needs’ seperti Koperasi Farmasi Komuniti Kelantan Berhad menawarkan pembelian ubat pada harga lebih murah kepada anggota-anggota yang merupakan pengusaha-pengusaha farmasi bumiputera di Negeri Kelantan.

Jelasnya, perkara itu mampu dilaksanakan kerana koperasi bertindak sebagai pembeli pukal terus daripada kilang dengan harga yang rendah untuk diedarkan kepada anggota.

“Ini yang saya juga mahu lihat di Negeri Melaka suatu hari nanti. Dengan model dan kaedah pembelian secara pukal melalui perkongsian modal yang saya nyatakan tadi, koperasi juga mampu menghapuskan peranan orang tengah dan kesan terhadap kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang meruncing pada ketika ini.

“Koperasi mampu menghasilkan produk barangan asas jenama COOP membabitkan barangan kawalan seperti gula, tepung dan beras yang mana harganya lebih murah berbanding jenama ‘generic’ sedia ada di pasaran. Ekosistem koperasi itu adalah berkonsepkan ‘people produce, people consume’ yang mana rantaian perkhidmatan bermula daripada anggota sendiri dan berakhir dimana anggota juga merupakan pengguna kepada sesuatu produk tersebut.

“Selain itu, koperasi juga dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada masyarakat sekitar apabila keperluan kepada tenaga kerja amat diperlukan bagi menjayakan projek-projek dan aktiviti koperasi dalam sesuatu komuniti,” katanya.

photo1677491392 (1)
AB Rauf bersama Pengarah SKM Melaka Mohd Firdaus Shaari pada program wawancara bersama Melaka Hari Ini. Foto Iqmal Haqim Rosman

KONGSI KEKAYAAN HASIL BERSAMA RAKYAT

Menurutnya konsep dan prinsip koperasi perkumpulan orang tertentu membentuk satu entiti perniagaan bagi masalah bersama-sama dalam kalangan mereka melalui perkumpulan modal untuk memulakan perniagaan.

Tambahnya perkongsian modal dapat mengurangkan kebergantungan kepada Kerajaan Negeri daripada segi pemberian insentif dan subsidi bagi memulakan sesuatu perniagaan.

“Bagi memulakan aktiviti pertanian fertigasi secara ‘greenhouse’ usahawan memerlukan modal permulaan RM100,000. Jika projek dilaksana secara koperasi 20 orang setiap usahawan hanya perlu mengeluarkan modal sebanyak RM5,000 bagi keluasan 1 ekar. Hasil keuntungan pula dibahagikan sama rata antara mereka.

“Sesungguhnya konsep berjemaah itu lebih baik dan amat dituntut dalam agama kita sendiri. Begitu juga sekiranya sesuatu projek itu dilaksanakan secara skala besar dengan kerjasama setiap agensi yang berkaitan, maka hasilnya tentulah lebih besar dan dapat meningkatkan pendapatan seterusnya meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

“Bukan sahaja dalam bidang pertanian, tetapi lain-lain bidang keberhasilan ekonomi lain seperti pelancongan, perindustrian dan keusahawanan produk,” katanya.

TINGKAT TARAF HIDUP RAKYAT MENERUSI KOPERASI

Ab Rauf berkata konsep koperasi turut dilaksanakan beberapa agensi Kerajaan Negeri dalam usaha membantu rakyat dan komuniti mengurangkan kos sara.

Beliau berkata beberapa kumpulan sasar di Negeri Melaka berjaya menubuhkan koperasi dengan kerjasama agensi dan jabatan berkenaan.

“Contoh Jabatan Kebajikan Masyarakat menerusi Koperasi Bela Masyarakat Melaka Berhad (KOBEMAS) dan Koperasi Usahawan Orang Pekak Melaka Berhad.

“Perkara ini turut dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam menerusi Koperasi Gabungan Masjid Melaka Berhad, Jabatan Pertanian Negeri Melaka (Koperasi Usahawan Tani Alor Gajah Melaka Berhad), Jabatan Veterinar Negeri Melaka (Koperasi Komong Jasin Melaka Berhad dan Koperasi Keluarga Haji Sharief Melaka Berhad).

“Ini tidak termasuk koperasi-koperasi sekolah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka. Kerajaan Negeri sentiasa menggalakkan penubuhan koperasi-koperasi dalam kumpulan sasar yang lain seperti masyarakat luar bandar dengan pengurniaan lot tanah kepada koperasi dengan kadar premium yang berkurangan,” katanya.

TUBUH KOPERASI BERKLUSTER BESAR

Berdasarkan kepada sambutan dan peningkatan pemahaman orang ramai mengenai koperasi Ab Rauf percaya Negeri Melaka mampu melahirkan beberapa buah lagi koperasi berkluster besar dengan projekprojek ekonomi utama yang mampu memberikan pulangan kepada anggota.

Katanya sebagai Exco yang bertanggungjawab, beliau mahu melihat koperasi- koperasi di Negeri Melaka melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi yang bukan sahaja berskala kecil bahkan berskala sederhana dan besar.

“Sejarah 100 tahun gerakan telah membuktikan beberapa koperasi yang bermula dengan secara kecil-kecilan pada waktu itu telah berjaya menempa nama dan mencatat kejayaan sebagai penyumbang ekonomi yang signifikan.

“Saya sangat mengharapkan agar rakyat di negeri ini membuka minda dan mula memikirkan untuk memulakan apa sahaja aktiviti perniagaan secara komuniti melalui koperasi yang boleh memberi manfaat,” katanya.

Selain itu beliau turut berharap koperasi memberikan perhatian kepada perancangan pembangunan ekonomi daripada Kerajaan Negeri terutama pelaburan berskala besar sedang dirangka ketika ini.

“Jangan biarkan peluang yang ada, bersedia untuk merebut peluang yang ada. Saya mahu melihat koperasi ini berkembang seiring dengan aktiviti ekonomi di Negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1905
Kongsi :
Previous post Kanser kolon ‘musuh dalam selimut’
Next post SKM Melaka perkasakan ‘Pak Tani’
Ubah saiz-+=