SKM Melaka perkasakan ‘Pak Tani’

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

AYER LIMAU 6 Mac – Berhujan dan berpanas itu sudah menjadi resam ‘pak tani’ yang tidak kenal erti penat atau lelah membanting tulang dalam memastikan kebun yang diusahakan bukan sekadar hijau, sebaliknya mengeluarkan hasil berkualiti tinggi.

Sebelum ini ada mengatakan bertani tidak akan maju atau sudah mahu kaya, tetapi kini tanggapan itu sudah tidak lagi sesuai kerana ramai yang sudah berjaya dan meraih hasil lumayan dengan berjasa kepada tanah.

Bagi Ady Irwan Samsudin, dia mahu membina empayar lebih besar dalam bidang pertanian dan impiannya itu mendapat perhatian daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) tampil menghulurkan geran berjumlah RM75,000 kepada koperasi Usahasama Tani Melaka Berhad ditubuhkan pada 18 Ogos 2021.

Dia yang juga Pengerusi koperasi Usahasama Tani Melaka Berhad berkata, menggunakan geran daripada SKM dan modal syer 20 ahli dia mengusahakan tanaman cili Sakata 461 menggunakan teknik fertigasi gantung.

“Alhamdulillah menggunakan modal terkumpul kami kini memiliki 1,400 polibeg cili. Proses menanam bermula November lalu dan setakat ini proses menuai sudah dilakukan sebanyak tiga kali.

“Insya-Allah dengan prosedur operasi Standard (SOP) penjagaan, pembajaan dan meracun yang betul kami jangka akan dapat hasil sekitar enam hingga lapan tan sepanjang musim ini.

“Setakat ini harga jualan bagi peringkat kebun adalah sekitar RM10 ke RM11, paras ini boleh dianggap selesa dan berbaloi,” katanya ketika ditemui di kebun yang diusahakan di Kampung Paya Lebar, Ramuan China Besar, Masjid Tanah, di sini, baru-baru ini.

Katanya koperasi berkenaan sebenarnya membabitkan gabungan mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 dan 2021.

Ady berkata, kesudian SKM membantu dianggap sebagai sinar kepada pekebun yang terjejas dan hilang punca pendapatan sepanjang KPK dilaksanakan.

“Bila bersatu pasti kita lebih kuat dan begitu juga apabila kita melaksanakan aktiviti pertanian ini melalui koperasi.

“Bila ada masalah ramai boleh berikan pandangan dan idea. Lebih bagus kerana mudah untuk dapatkan bantuan daripada jabatan dan agensi kerajaan berkenaan.

“Jadi peluang dan potensi untuk lebih maju serta berkempang semakin tinggi, berbeza jika kita laksanakan secara individu,” katanya.

Tidak mahu selesa dengan mengharapkan hasil tuaian cili semata-mata dia bersama ahli koperasi melakukan aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk menghasilkan produk hiliran seperti sambal hijau, sambal merah dan sambal ikan bilis.

“Jika tiada aral melintang kami akan pasarkan produk hiliran ini. Setakat ini sambal ikan bilis dipasarkan mendapat sambutan yang amat menggalakkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1718
Kongsi :
Previous post Digital ‘DNA’ baharu koperasi
Next post Peniaga rayu luluskan segera Bazar Aidilfitri Klebang
Ubah saiz-+=