Peniaga rayu luluskan segera Bazar Aidilfitri Klebang

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

BANDA HILIR 6 Mac – Lebih 200 peniaga yang akan berniaga di Bazar Aidilfitri Klebang memohon agar kebenaran dan lesen penganjuran bazar dapat diberikan dalam tempoh terdekat.

Presiden Persatuan Peniaga Peniaga Melayu Bazaar Melaka (PPMBM) Wahi Anwar Muhammad Ilmi berkata, ia amat penting bagi memudahkan peniaga yang terbabit membuat persiapan membawa masuk stok barangan jualan memandangkan umat Islam akan menyambut ramadan kira-kira 17 hari lagi.

“Saya dimaklumkan lokasi lain seperti Bazaar Aidilfitri Jalan Hang Tuah dan MITC, Ayer Keroh mereka sudah diberikan kebenaran dan lesen penganjuran tetapi untuk penganjur di Klebang, belum menerima apa-apa meskipun sudah mendapat kelulusan daripada Japerun.

“Ia seakan-akan peniaga di Klebang ini macam dianak tirikan, sedangkan kawasan lain sudah selesai dan mereka sudah boleh memulakan persiapan untuk berniaga,” katanya pada sidang media di sebuah hotel di Banda Hilir, malam tadi.

Menurutnya, dia yang mewakili peniaga tidak menolak kemungkinan hal itu berikutan beberapa dakwaan yang dibangkit dengan mengatakan penganjuran bazar di tapak itu mendapat tentangan beberapa pihak termasuk penduduk di taman perumahan berhampiran.

“Peniaga sebelum ini difahamkan ada dakwaan mengatakan penduduk taman perumahan berhampiran tidak setuju dengan alasan kesesakan lalu lintas, penganjur sudah pun mendapat persetujuan menerusi pengerusi komuniti penduduk malah 45 daripada 63 pemilik kedai di kawasan itu juga memberi sokongan kepada penganjuran. Jadi tiada isu lagi.

“Sekarang ini bukan waktu yang sesuai untuk peniaga bertukar lokasi misalnya di pesisir pantai Klebang seperti tahun 2021. Jika mahu pindahkan lokasi ia perlu dimaklumkan tiga bulan awal atau untuk penganjuran tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, peniaga bazar, Wan Mohd Zamani Wan Mohd Najit, 44, berkata, pada kebiasaan dua minggu sebelum bazar bermula apabila sudah mendapat kebenaran dan lesen, peniaga sudah mula membuat persiapan dengan mengambil stok barang jualan tetapi pada tahun ini mereka kebingungan.

“Kemelut yang berlaku sekarang ini seperti tidak masuk akal. Kami peniaga bukan keluarkan modal RM2,000 atau RM3,000 sebaliknyaa cecah puluh ribu. Untuk membawa masuk barang kami kena tengok lokasi juga sama ada senang diakses atau sebaliknya.

“Jadi saya amat berharap pihak yang berkaitan membuat dan mengambil keputusan yang terbaik selain dapat mengekalkan tapak dilokasi sama dan lesen penganjuran dikeluarkan dalam kadar segera,” katanya.

Peniaga dan pemilik kedai di kawasan itu pula, Norsilla Imran, 34, berkata, dia tiada halangan sekiranya Bazar Aidilfitri Klebang, dibuat di situ, seperti tahun lalu kerana secara tidak langsung akan meningkatkan jualan tudung yang diusahakannya.

“Kawasan di situ tidaklah ramai pengunjung pada hari biasa tetapi dengan adanya bazar, ia akan menjadi tumpuan ramai malah secara tidak langsung kami peniaga di bangunan rumah kedai dapat tempias apabila jualan turut meningkat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3218
Kongsi :
Previous post SKM Melaka perkasakan ‘Pak Tani’
Next post Hari Bertemu Rakyat: Peluang warga Pengkalan Batu salur aduan, dekati pemimpin
Ubah saiz-+=