Sorting by

×

AYAM PERCIK HUTAN PERCHA ‘UBATI KERINDUAN’

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

MACHAP JAYA 26 Januari – Kerinduan penggemar ayam percik Hutan Percha untuk merasai kembali keenakan rasa hidangan itu terubat apabila legasi warung itu kini diteruskan oleh anak kepada pengasasnya iaitu Mohd Helmi Hassan, 42.

Operasi warung itu sebelum ini ditutup sementara selepas pengasasnya Hassan Saad atau lebih dikenali sebagai Pak Itam meninggal dunia pada 21 Mei 2023.

Sepanjang tempoh itu, bukan sahaja penduduk tempatan malah penggemar ayam percik di premis itu terpaksa ‘memendam rasa’ dan merindui kelazatan ayam percik itu yang boleh dikatakan sukar di temui di lokasi lain.

Ini terbukti apabila walaupun lokasi terletak jauh dalam kawasan felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, ia tidak menjadi halangan kepada pelanggan untuk datang menikmati keenakan hidangan itu.

Menurut Mohd Helmi, meskipun sebelum ini tiada perancangan untuknya mengambil alih ‘tampuk’ perniagaan ayahnya itu namun kerana tidak sampai hati dengan permintaan pelanggan membuatkan dirinya membuat keputusan untuk mengembalikan semula legasi ayam percik Hutan Percha.

“Hampir sebulan kembali mengusahakan ayam percik ini memang tidak jangka mendapat sambutan, sepatutnya waktu urus niaga bermula jam 11 pagi namun seawal jam 9 pagi lagi pelanggan sudah datang menunggu.

“Bukan sahaja orang Melaka malah pelanggan dari luar juga ada yang sanggup tunggu lama, mereka kata sudah lama tunggu. Alhamdulillah setiap kali warung buka ayam habis terjual malah ada juga yang terpaksa pulang hampa,” katanya ketika ditemui di warungnya baru-baru ini.

Menurut Mohd Helmi, meskipun mewarisi resepi asli arwah ayahnya, namun jauh di susut hati, dia tetap bimbang sekiranya tidak dapat memenuhi citarasa pelanggan kerana kebanyakannya adalah pelanggan setia sejak berbelas tahun dahulu.

“Keenakan rasa ayam percik ini terletak pada kuahnya jadi untuk mendapat rasa sama seperti disediakan arwah ayah itu membuatkan saya risau sekiranya tidak sama.

“Namun saya lega apabila pelanggan mengatakan rasanya sama seperti dahulu. Bagi saya kepuasan pelanggan adalah keutamaan kerana ini adalah peninggalan legasi ayah,” katanya.

Jelasnya, jika sebelum ini arwah ayahnya menjual hanya RM3.50 seketul namun disebabkan kos barang mentah semakin meningkat, dia terpaksa menaikkan harga kepada RM4.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

518
Kongsi :
Previous post SUSU PERCUMA UNTUK MURID DI HANG TUAH JAYA
Next post RIBUAN TANGLUNG HIASI BANDARAYA MELAKA