Sorting by

×

SUSU PERCUMA UNTUK MURID DI HANG TUAH JAYA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER KEROH 26 Januari – Pemberian susu percuma dalam kalangan murid sekolah di Parlimen Hang Tuah Jaya akan diperluaskan kepada semua termasuk mereka yang bukan penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abd Halim berkata, bagi merealisasikan hasrat itu pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat yang terpilih sebagai pembekal susu untuk diagihkan kepada murid.

“Pemberian susu percuma sebelum ini memang ada tetapi khas untuk penerima RMT sahaja tetapi kali ini kita ambil inisiatif untuk beri kepada semua murid sekolah.

“Memang kita akan buat bekalan susu untuk dua minggu sekali kepada empat atau lima buah sekolah terpilih di dalam Parlimen Hang Tuah Jaya ini jadi selain penerima RMT, murid lain juga dapat menikmatinya.

“Berapa ramai jumlah murid yang bakal menerima manfaat ini kita sedang perhalusi selain dengan syarikat mana (akan terlibat) juga akan diumumkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Program Kembali Ke Sekolah 2025 Parlimen Hang Tuah Jaya yang turut dihadiri Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin, di Pasar Raya Mydin, di sini, hari ini.

Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, selain memastikan murid mendapat nutrisi yang cukup, inisiatif itu juga adalah bagi menyahut seruan kerajaan supaya menyediakan inisiatif bersasar untuk rakyat.

“Menerusi inisiatif ini sekurang-kurangnya, setiap pagi murid akan masuk ke kelas dengan perut yang kenyang, seterusnya dapat belajar dengan baik serta selesa.

“Malah pemberian susu secara percuma ini bukan sahaja dapat memberikan nutrisi sokongan kepada murid tetapi juga dapat melawan murid ‘bantut’,” katanya.

Jelasnya, meskipun pada tahun pertama ini hanya akan melibatkan empat hingga lima buah sekolah sahaja namun jumlah itu akan bertambah pada fasa berikutnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

187
Kongsi :
Previous post BAUCAR RM15 DI SAMBUTAN TAHUN BARU CINA MELAKA, 8 FEBRUARI INI
Next post AYAM PERCIK HUTAN PERCHA ‘UBATI KERINDUAN’