Azizul Annuar tidak mahu tumpang nama besar bapa ‘Tok Nan’

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

KUCHING, 8 Dis – Azizul Annuar Adenan mahu dinilai berdasarkan kredibiliti sendiri dan bukan menumpang nama besar arwah bapanya bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dalam usaha membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu.

Penampilan sulung pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, 18 Dis ini, calon berusia 30 tahun itu tidak melihat faktor sebagai anak Ketua Menteri kelima itu sebagai kelebihan dalam kempen pilihan raya itu.

Menurutnya beliau telah lama menabur bakti untuk penduduk di Tanjong Datu dan bukan kerana beliau anak kepada pemimpin utama parti dan wakil rakyat di Tanjong Datu.

“Saya telah berkhidmat di kawasan N3 (DUN Tanjong Datu) sudah sekian lama dan menjadi Ketua Pemuda PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) pada 2018,” katanya kepada Bernama.

Beliau, bagaimanapun, tidak menafikan ada harapan yang tinggi menanti beliau jika menang pada PRN12 nanti.

Ramai pemerhati politik melihat faktor calon muda dan anak kepada individu yang pernah menjadi Ketua Menteri dari 2014 hingga 2017 sebagai kelebihan buat Azizul Annuar.

Ada juga pendapat pengaruh Adenan sememangnya cukup kuat di Tanjong Datu, sehinggakan GPS merasakan beliau merupakan individu yang paling layak untuk meneruskan legasi bapanya, selain menghidupkan ‘suara’ golongan muda di DUN Sarawak.

Pada PRN11 pada 2016, Allahyarham Adenan, yang mesra disapa ‘Tok Nan’ menjadi wakil rakyat kawasan Tanjong Datu kerusi tersebut dengan mewakili Barisan Nasional (BN) untuk penggal ketiga.

Susulan kematian Adenan pada 11 Jan 2017, Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan dengan balu Allahyarham, Datuk Amar Jamilah Anu dipilih bertanding mewakili BN dan berjaya memenangi kerusi tersebut.

Bagi penduduk Tanjong Datu, Mohd Alif Noni, 28, kehadiran calon muda seperti Azizul boleh membuka jalan untuk lebih banyak calon muda menceburi politik.

“Jika kita lihat sekarang ini, ada isu-isu berkaitan orang muda kadang-kadang tidak difahami oleh wakil rakyat lebih berusia, Azizul orang muda dan dia berfikiran sama seperti kita,” katanya.

Azizul Annuar berdepan pertandingan empat penjuru pada PRN12.

Beliau ditentang calon Bebas Abdul Talip Ba’ee, Jery’in Fauzi mewakili Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Goem Pijar daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Seorang lagi anak muda di Tanjong Datu, Siddiqin Azizul, 28, berkata beliau melihat Azizul mempunyai keupayaan kerana telah mendapat pendedahan awal politik daripada ayahnya malah sering mengikuti penyandang kerusi DUN Tanjong Datu yang juga ibunya, Jamilah untuk turun padang.

Katanya pendedahan itu memberikan Azizul satu kelebihan besar dalam dunia politik dan juga kerjaya sebagai seorang wakil rakyat.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1067
Kongsi :
Previous post AFF lulus permohonan tukar penjaga gol skuad Harimau Malaya
Next post Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan sumbang RM10,000 kepada Pesta Konvo UTeM
Ubah saiz-+=