AFF lulus permohonan tukar penjaga gol skuad Harimau Malaya

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Malaysia boleh menarik nafas lega apabila Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), membenarkan penggantian pemain di posisi penjaga gol skuad kebangsaan pada kempen kejuaraan Piala AFF 2020 di Singapura.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Mohd Saifuddin Abu Bakar, setelah permohonan rasmi badan induk itu untuk menukar pemain di posisi berkenaan diluluskan AFF.

Menurutnya, kelulusan itu diberikan selepas perbincangan bersama wakil-wakil negara bernaung di bawah AFF yang berlangsung malam semalam.

“Mereka memahami keadaan kita dan setuju benarkan kita menamakan pemain baharu. FAM ucapkan terima kasih kepada AFF kerana meluluskan permohonan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Saifuddin berkata FAM akan menyerahkan kepada Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe, untuk menentukan pemain yang dikehendaki.

Bagaimanapun, beliau berkata proses pertukaran pemain itu akan mengambil sedikit masa, disebabkan perlu melalui beberapa prosedur ditetapkan kerajaan Singapura.

FAM sebelum ini mengesahkan dua pemain skuad Harimau Malaya iaitu penjaga gol Muhammad Khairulazhan Mohd Khalid dan pemain sayap Muhammad Faisal Abdul Halim, disahkan positif COVID-19 di republik itu.

Mereka disahkan positif selepas keputusan ujian saringan Polymerase Chain Reaction (PCR), yang dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, Jumaat lepas diperoleh.

Kedua-dua pemain tersebut yang tidak bergejala diarahkan menjalani kuarantin selama 10 hari mengikut protokol Kementerian Kesihatan Singapura, dengan ujian COVID-19 dilakukan pada setiap hari sekali gus terlepas tiga aksi pertama Kumpulan B kejuaraan itu.

Berdasarkan undang-undang pertandingan tiada sebarang penambahan dibenarkan selepas tarikh tutup pendaftaran pemain, kecuali pertukaran melibatkan posisi penjaga gol.

Malaysia membuka kempen Piala AFF 2020 dengan langkah kanan selepas membenam Kemboja 3-1 semalam dan akan bertemu Laos, Khamis ini sebelum menamatkan baki saingan kumpulan berdepan juara bertahan Vietnam dan Indonesia, masing-masing pada 12 dan 19 Dis ini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1202
Kongsi :
Previous post KUIM komited lahirkan kebolehpasaran graduan logistik, pengangkutan
Next post Azizul Annuar tidak mahu tumpang nama besar bapa ‘Tok Nan’
Ubah saiz-+=