
PRN MELAKA: RAIS MAHU PARTI POLITIK BERKEMPEN SECARA SIHAT
SUNGAI UDANG 15 Oktober – Barisan Nasional (BN) mahu memastikan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berlangsung secara sihat tanpa sebarang unsur menghasut atau memburuk-burukkan mana-mana pihak.
Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Rais Yasin berkata, semua pihak seharusnya memberi tumpuan kepada persaingan secara profesional dan menyerahkan sebarang keputusan berkaitan calon kepada pimpinan parti masing-masing.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan persaingan politik berlangsung secara matang tanpa melabel atau menjatuhkan pihak lain.
“Sebarang perbezaan pandangan berkaitan kedudukan parti dan calon seharusnya diselesaikan menerusi perbincangan, bukannya melalui media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Kempen Harga Istimewa, Tentera Sejahtera (HITS) sempena Lawatan Menteri Pertahanan ke Kem Terendak Melaka, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman; Ketua Staf Angkatan Tentera Malaysia Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri; Ketua Eksekutif LTAT Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi dan Pengerusi Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) Datuk Seri Iskandar Mizal Mahmood.
Mengulas kedudukannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Rais yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pimpinan parti untuk menentukan calon yang akan bertanding pada PRN akan datang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kesediaannya untuk bertanding di kawasan itu sekiranya dipilih secara rasmi oleh parti.
Terdahulu, penyandang DUN Sungai Udang, Dr. Mohd Aleef Yusof dilaporkan bertekad mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN Melaka sekiranya dipilih partinya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


