
HITS@PERNAMA TAWAR HARGA ISTIMEWA KEPADA WARGA ATM, KELUARGA TANPA HAD KUOTA
SUNGAI UDANG 15 Oktober– Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), termasuk anggota yang sedang berkhidmat, veteran dan keluarga mereka, kini boleh menikmati barangan keperluan pada harga lebih rendah menerusi Kempen Harga Istimewa Tentera Sejahtera (HITS@PERNAMA).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif itu menawarkan harga istimewa sepanjang masa tanpa had kuota pembelian bagi membantu meringankan beban kos sara hidup warga tentera.
Katanya, kempen berkenaan melengkapkan pelbagai usaha Kementerian Pertahanan ((MINDEF) dalam meningkatkan kesejahteraan anggota ATM dan keluarga mereka termasuk dalam aspek perumahan, pendidikan, kesihatan dan kebajikan.
Menurutnya, HITS@PERNAMA menggantikan pendekatan Jualan Istimewa MADANI Angkatan Tentera (JIMAT) yang sebelum ini hanya menawarkan harga rendah selama tiga hari ketika pembayaran gaji anggota serta tertakluk kepada kuota barangan tertentu.
“Kalau dahulu tawaran harga yang murah itu hanya berlaku pada hari dapat gaji, sekarang ni pada setiap masa, dan kalau dahulu semua kena berebut untuk dapat barang yang ditawarkan murah itu, tetapi hari ini tiada had.
“Jadi dengan demikian, kita berharap ia benar-benar beri manfaat kepada anggota,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kempen HITS@PERNAMA di Kem Terendak, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman dan Ketua Staf ATM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri, Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi dan Pengerusi Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA), Datuk Seri Iskandar Mizal Mahmood serta tetamu kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) mempunyai 80 kedai di kem tentera seluruh negara yang menyediakan 308 unit penyimpanan stok (SKU) barangan merangkumi makanan, keperluan penjagaan diri dan kelengkapan rumah.
Katanya, kempen itu berpotensi memberikan penjimatan sekitar 30 peratus berdasarkan contoh perbandingan harga bakul barangan tertentu dengan harga pasaran luar.
“Kalau nak buat perbandingan, misalannya satu bakul yang dibelanjakan RM100 di luar, di PERNAMA barang yang sama hanya mungkin dalam RM70, maknanya ada 30 peratus penjimatan,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau memberikan beberapa contoh perbandingan harga barangan termasuk beras Faiza yang ditawarkan pada RM28.05 berbanding RM31.99 di pasaran, manakala minyak masak berharga RM12 berbanding RM13.30 dan susu bayi ditawarkan pada RM13.80 berbanding RM21.45 di pasaran, sementara bihun dijual pada harga RM2.50 berbanding RM3.25.
Mohamed Khaled berkata, pembelian barangan di PERNAMA turut menawarkan sistem mata ganjaran yang membolehkan anggota menikmati manfaat tambahan.
Beliau turut meminta pihak pengurusan kem tentera memudahkan kemasukan veteran ATM bagi membolehkan golongan itu menikmati kemudahan pembelian barangan pada harga istimewa di PERNAMA.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

