9E5BB943-A8A1-4E8E-BB3D-17916F4E44DD

B-19 AFF : Malaysia atasi cabaran Laos untuk muncul juara

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Malaysia merangkul kejuaraan kedua Kejohanan Bawah 19 Tahun (B-19) Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dalam tempoh empat tahun selepas menundukkan Laos 2-0 pada perlawanan akhir di Bekasi, Indonesia, malam tadi.

Lebih manis, kejayaan di Stadium Patriot Candrabhaga itu membolehkan skuad B-19 kebangsaan kendalian Hassan Sazali Mohd Waras menebus kekecewaan terhadap kekalahan 0-1 kepada lawan sama pada aksi terakhir saingan Kumpulan B, Isnin lepas.

Pada aksi yang berlangsung sengit itu, Malaysia memulakan permainan dengan cemerlang selepas mendahului pada minit ke-14 menerusi penyudah Muhammad Faiz Amer Runnizar sebelum gol tersebut mengubah rentak Laos yang tampil lebih agresif.

Perubahan gaya permainan pasukan lawan tidak menjejaskan fokus skuad B-19 kebangsaan yang hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-36, namun penyerang Adam Farhan Mohd Faizal yang bijak membuat larian ke dalam kotak penalti gagal merembat kemas hantaran rakan sepasukan.

Laos yang buntu meledak gol penyamaan di separuh masa pertama tampil lebih garang di babak kedua dengan beberapa siri percubaan berbahaya dan kekasaran ke atas pemain negara dalam usaha memburu gol dicari-cari.

Malaysia, yang tenang menyerap asakan Laos, sekali lagi terlepas peluang keemasan untuk mendahului perlawanan dengan selesa selepas pemain pertahanan Muhammad Faiz Amer Runnizar gagal menampan bola hantaran rakan sepasukan pada minit ke-61, tatkala penjaga gol lawan sudah pun tertewas.

Bagaimanapun, pemain tengah Muhammad Aliff Izwan Yuslan berjaya menebus kehampaan itu dengan menyumbat gol kedua pasukan pada minit ke-76 selepas beliau bijak mencari ruang untuk menolak bola hantaran lambung Muhammad Alif Farhan Fauzi.

Jaringan tersebut terus membakar semangat pemain negara untuk mempertahankan kedudukan sebelum wisel penamat dibunyikan pengadil dari Myanmar Kyaw Zwali Lwin sekali gus mengesahkan kemenangan skuad B-19 kebangsaan.

Sebagai rekod, skuad B-19 kebangsaan mempunyai rekod baik dalam tiga edisi terakhir kejohanan itu apabila menjuarai edisi 2018 yang juga menjadi gelaran sulung pasukan negara dalam sejarah penganjuran kejohanan itu selain muncul naib juara edisi 2017 dan 2019.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

112
AADB3683-9A40-4588-9F65-B657D8D646DC Previous post Akan ada Mat Kilau 2
22B7A198-8504-4936-A510-55F88C7BB896 Next post Kadar pengangguran belia menurun suku pertama tahun ini – PM