Bajet 2022: Melaka terima limpahan manfaat, fokus utama atasi banjir – KM

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MASJID TANAH 30 Okt – Seperti negeri-negeri lain, Melaka turut mendapat manfaat besar daripada pembentangan Bajet 2022 yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, pelbagai sektor bakal menerima limpahan peruntukan keseluruhan berjumlah RMRM332.1 billion itu terutama membabitkan sektor pendidikan, kesihatan dan pelancongan.

Namun, beliau berkata, untuk Melaka, fokus utama yang akan diberi perhatian ialah mengatasi isu banjir yang sering berlaku memandangkan perkara itu turut disebut dalam pembentangan berkenaan.

Justeru, katanya, pelan jangka pendek bagi mengatasi banjir akan dirangka segera supaya masalah itu segera di atasi.

“Di sini kajian ada kita buat, jangka pendeknya akan menjadi keutamaan untuk kita serahkan kepada pihak yang berkenaan untuk bajet yang dikeluarkan bagi mengatasi masalah banjir.

“Setakat ini kita telah mengenal pasti beberapa kawasan yang kita tahu sering berlakunya banjir yang mana saya dah minta pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melihat semula kawasan-kawasan ini.

“Jadi kajian memang sudah dijalankan ketika ini dan pada masa sama saya berharap projek tebatan banjir yang telah diluluskan sebelum ini dapat disiapkan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Tahunan UMNO Cawangan Durian Daun di Masjid Tanah.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Melaka untuk mengkaji dan mencari peluang yang boleh dimanfaatkan Melaka dalam pembentangan bajet berkenaan.

“Saya mengarahkan pihak UPEN untuk mengkaji kembali bajet ini dan melihat dimanakah peluang-peluang yang mungkin tidak disebut tetapi ianya boleh dicapai kebaikan negeri Melaka.

“Begitu juga bajet-bajet pada kementerian-kementerian yang telah pun dimaklumkan,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

397
Kongsi :
Previous post PKR serah kerusi DUN Kuala Linggi kepada Amanah
Next post Akta 342 masih terpakai, bukan hanya untuk PRN Melaka – Hamzah
Ubah saiz-+=