PKR serah kerusi DUN Kuala Linggi kepada Amanah

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

MELAKA 30 Okt – PKR menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi untuk ditandingi Amanah pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 20 November depan.

Dalam masa yang sama PKR memperoleh empat kerusi baru untuk ditandingi, iaitu Lendu, Paya Rumput, Asahan dan Sungai Rambai.

Timbalan Pengerusi PKR Melaka, Datuk Gue Teck berkata, pembahagian kerusi itu sudah dimuktamadkan sebelum diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

“Kami mendapat empat kerusi baru untuk ditandingi tetapi menyerahkan satu yang kami tandingi sebelum ini kepada Amanah, iaitu Kuala Linggi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang berkata, empat kerusi tambahan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan enam kerusi yang pernah ditandingi Bersatu pada PRU-14.

Dua lagi kerusi berkenaan, iaitu Ayer Limau dan Telok Mas diserahkan kepada Amanah untuk ditandingi, sekali gus menjadikan Amanah memperoleh tiga kerusi tambahan, termasuk Kuala Linggi.

Sementara itu Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew berkata, parti berkenaan terpaksa berpuas hati sekadar kekal bertanding di lapan kerusi walaupun pernah meminta supaya diberikan peluang bertanding di Paya Rumput.

“Dalam perbincangan, pasti ada pihak yang gembira dan berduka dengan keputusan yang dicapai tetapi DAP tidak mahu memikirkan kekecewaan kerana tidak dapat Paya Rumput.

“Bagaimanapun, kami mendapat semula kerusi Parlimen Alor Gajah yang pernah kami tandingi pada PRU-13 sebelum diserahkan kepada Bersatu pada PRU-14,” katanya.

Beliau berkata, meskipun tidak berpeluang menambah kerusi DUN pada PRN Melaka, DAP tetap akan memastikan lapan kerusi sedia ada dipertahankan.

Semalam, Anwar mengumumkan jumlah agihan kerusi yang ditandingi Pakatan Harapan (PH) iaitu 11 kerusi bagi PKR, lapan DAP dan sembilan Amanah.

Kerusi ditandingi PKR pada PRN Melaka ialah tujuh yang ditandingi pada PRU-14, iaitu Ayer Molek, Klebang, Sungai Udang, Tanjung Bidara, Rembia, Machap Jaya dan Rim, selain empat kerusi baharu, iaitu Lendu, Paya Rumput, Asahan dan Sungai Rambai.

Manakala kerusi ditandingi Amanah pula ialah enam yang ditandingi pada PRU-14, iaitu Bukit Katil, Durian Tunggal, Taboh Naning, Serkam, Pantai Kundur dan Merlimau, selain tiga kerusi baharu iaitu Ayer Limau, Telok Mas dan Kuala Linggi.

DAP pula kekal bertanding di kerusi yang dimenangi pada PRU-14 lalu iaitu Kesidang, Duyong, Bemban, Ayer Keroh, Kota Laksamana, Banda Hilir, Gadek dan Pengkalan Batu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

563
Kongsi :
Previous post ‘Saya hanya bercuti, bukan berkempen’- Najib
Next post Bajet 2022: Melaka terima limpahan manfaat, fokus utama atasi banjir – KM
Ubah saiz-+=