Bakal tunang sempat dengar jeritan ketika nahas

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

ALOR GAJAH 14 April – Bakal tunang kepada mangsa nahas di Jalan Lendu, lewat malam semalam, sempat mendengar jeritan ketika masih berhubung dengan teman lelakinya itu melalui panggilan telefon.

Zulaikha Hanim Khairul Samri, 22, berkata, ketika kejadian dia tidak mematikan panggilan telefon Allahyarham Muhammad Hasraf Amin Hasrin, 23, yang sedang dalam perjalanan ke Bazar Aidilfitri Pekan Masjid Tanah.

Secara tiba-tiba, katanya, dia terdengar suara jeritan di dalam kereta sebelum mengetahui kesemua mereka terlibat kemalangan yang mengorbankan bakal tunangnya itu.

“Sebelum kejadian kami sempat keluar bersama-sama beli barangan keperluan raya dan arwah ada membeli sepasang kasut baharu.

“Selepas membeli belah dan berbuka puasa dia kemudian menghantar semula saya pulang ke rumah di Nilai, Negeri Sembilan.

“Bagaimanapun kira-kira jam 11 malam dia menghubungi saya dan memberi tahu ingin keluar ke bazar dan ketika keluar dia tidak mematikan panggilan telefon sebaliknya membiarkan begitu sahaja sehinggalah tiba-tiba saya terdengar bapa saudaranya menjerit dan mengetahui mereka terlibat kemalangan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, Muhammad Hasraf dan bapa saudaranya, Mohd Firdaus Yusof, 38 maut selepas kereta Perodua Myvi yang dipandu terbabas lalu merempuh sebatang pokok.

Manakala, seorang lagi saudara mereka Azizul Hamis @ Jainy, 38, yang juga penumpang bahagian belakang kini sedang dirawat di Zon Merah Hospital Alor Gajah akibat kecederaan parah.

Sementara itu, adik arwah, Muhammad Aliff Iman Hasrin, 15, sukar menerima hakikat kehilangan dua abang dalam tempoh tidak sampai setahun.

Katanya, selepas abang sulungnya meninggal dunia Ogos tahun lalu akibat serangan jantung, kini, dia terpaksa menelan hakikat pemergian seorang lagi abang yang dipanggil ‘baby’ dalam kalangan ahli keluarga.

“Ibu masih sukar untuk terima berita ini kerana abang sulung baru meninggal dan kini ‘Baby’ pula.

“Dua tiga hari ini ‘baby’ kerap belanja kami, malah dia turut beri mama duit untuk belikan baju raya saya,” katanya ketika menuntut jenazah abangnya di Unit Forensik Hospital Alor Gajah, hari ini.

Walaupun sedih, dia sekeluarga tetap reda kehilangan seorang lagi ahli keluarga beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7652
Kongsi :
Previous post 14 hari Op Raya, JKNM keluarkan kompaun RM47,000
Next post Lelaki mengaku salah terhadap 32 tuduhan rogol, amang seksual anak tiri
Ubah saiz-+=