14 hari Op Raya, JKNM keluarkan kompaun RM47,000

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 14 April – Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) mengeluarkan 29 kompaun berjumlah RM47,000 membabitkan pelbagai kesalahan sepanjang 14 hari Operasi Hari Raya 2023 (Op Raya 2023).

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, menerusi operasi bermula 1 April lalu JKNM melakukan peperiksaan terhadap 42 premis perniagaan termasuk kedai runcit dan pasar raya sekitar Melaka.

Katanya antara kesalahan dikesan adalah pembungkus rosak yang tidak dialihkan dari rak pameran dan mempamerkan makanan sudah tamat tempoh.

“Selain mengeluarkan kompaun kami turut menyita sebanyak 1,111 barangan makanan bernilai RM6,5552.97.

“Tindakan itu dilakukan selepas penguat kuasa mengesan kesalahan seperti pembungkusan, pelabelan tiada alamat pengimport selain makanan sudah melepasi tarikh luput,” katanya pada sidang media selepas Op Raya 2023 yang turut dihadiri Pengarah JKNM Datuk Dr. Rusdi Abd Rahman, di sebuah pasar raya di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hee Sem mengingatkan pengeluar dan peruncit terutamanya, agar memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan makanan dijual.

“Tindakan boleh diambil mengikut Akta Makanan 1983 jika didapati berlaku perlanggaran peraturan ditetapkan.

“Secara keseluruhan sejak Januari hingga hari ini JKNM sudah mengeluarkan 38 kompaun bernilai RM75,000 dengan barang disita pula sebanyak 1,734 membabitkan nilai RM10,509.51,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, JKNM turut mengeluarkan sebanyak enam kompaun membabitkan kesalahan peniaga yang dikesan dalam pemeriksaan di bazar Ramadan.

“Kesemua kompaun itu berjumlah RM600, ia dikeluarkan selepas kami dapati masih ada peniaga bazar gagalpatuhi cara pemakaian yang betul ketika mengendali makanan walaupun sudah diberi peringatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2199
Kongsi :
Previous post Pacu kehidupan keluarga berpendapatan rendah sempena Aidilfitri
Next post Bakal tunang sempat dengar jeritan ketika nahas
Ubah saiz-+=