BAM pernah ‘pujuk’ Zii Jia, akan umum keputusan lusa

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia telah membuat keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak sebagai pemain profesional.

Juara All England 2021 yang kini menghuni ranking ketujuh dunia telah menghantar surat peletakan jawatan kepada badan induk itu pada 11 Jan lepas.

Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan perkara berkenaan dan berkata timbalannya Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos diberi mandat untuk mengumumkan keputusan mesyuarat Majlis BAM pada Isnin lepas dalam satu sidang media yang akan diadakan Jumaat ini.

Mohamad Norza berkata, beliau dan Setiausaha Agung BAM Kenny Goh yang juga pengerusi Kejurulatihan dan Latihan (C&T) mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pemain berusia 23 tahun itu bagi memujuk untuk kekal bersama BAM namun Zii Jia tetap dengan pendiriannya.

“Selepas itulah kita membawa perkara ini ke mesyuarat Majlis untuk dengar masalah yang kita hadapi ini, kerana Zii Jia adalah aset utama kita, tentu sahaja tidak ingin melihat masa depannya disia-siakan.

“Jadi setelah kita mendengar semua pihak, Majlis telah berbincang dan mengeluarkan satu keputusan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 Beijing di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata pihaknya jelas kecewa dengan keputusan Zii Jia selepas menjaga dan membantu pembinaan karier sejak berumur 13 tahun bagi merealisasikan hasratnya untuk menjadi seperti jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

“Beliau baru sahaja memenangi satu All England, seharusnya beliau fokus dan kekal pada BAM. Namun, beliau menyatakan bahawa beliau bukan Chong Wei, tidak boleh tahan tekanan, mahu mencapai apa yang diinginkan sendiri dengan ruang yang beliau mahu tanpa kekangan.

“Saya rasa beliau tidak ada masalah dari segi dalam BAM sendiri, kalau kita lihat Chong Wei, 19 tahun bersama BAM. Apabila sampai kemuncak prestasi sebagai pemain, BAM adalah tempat untuk teruskan karier untuk sampai nombor satu dunia atau legenda satu hari nanti. Tapi mungkin beliau mempunyai keutamaan lain.

“Jika kita masih mempunyai aspirasi untuk merealisasikan impian, kita bekerja keras, kerana itu adalah khidmat kita untuk negara. Kami (BAM) telah berjaya melahirkan pemain bertaraf dunia, itu adalah perasan ketara dalam diri kami,” katanya.

Zii Jia mengharungi musim 2021 dengan prestasi tidak konsisten bermula dengan persembahan hambar di tiga kejohanan di Thailand sebelum mencipta sensasi muncul juara All England pada Mac.

Beliau kemudiannya membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Tokyo yang menyaksikan pemain kelahiran Kedah itu tewas di tangan pemain China, Chen Long di pusingan 16 terbaik.

Selepas membantu skuad negara meraih gangsa Piala Sudirman, beliau kemudiannya berdepan masalah keletihan dan kecederaan dalam beberapa kejohanan disertai termasuk terpaksa menarik diri pada kejohanan Indonesia Master di Bali dan Kejohanan Dunia BWF di Huelva, Sepanyol. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

738
Kongsi :
Previous post Hapus judi ‘online’ di Merlimau sampai ke lubang cacing
Next post Penilaian risiko, SOP perjalanan umrah akan dimuktamad pertengahan Feb
Ubah saiz-+=