Banci 2020, pindaan Perkara 119, antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-258

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Perkara-perkara berkenaan Banci 2020 dan pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan merupakan antara intipati perbincangan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 yang berlangsung di Istana Negara selama dua hari bermula semalam.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata turut dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Atasan, pelantikan Pengerusi dan Ahli-Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI).

“Majlis juga telah disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan pertahanan negara oleh Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.

Sebelum mesyuarat, majlis juga telah mendengar taklimat ringkas oleh Perdana Menteri mengenai pandangan dan pendirian kerajaan atas beberapa perkara menyentuh hal ehwal negara yang terkini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syed Danial berkata, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat menghadiri hari kedua mesyuarat itu, diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mesyuarat dipengerusikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin itu berlangsung selepas kali terakhir diadakan pada 24 Nov dan 25 Nov 2021, yang dipengerusikan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Pada hari pertama mesyuarat, Syed Danial berkata kesemua Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri telah berangkat hadir, termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, manakala Sultan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor tidak dapat berangkat berikutan keadaan di Johor yang tidak mengizinkan,” katanya.

Terdahulu pada mesyuarat hari ini, Raja-Raja Melayu yang berangkat diiringi Menteri Besar masing-masing, manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Premier.
– BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

794
Kongsi :
Previous post PRN JOHOR: Skim ‘rent-to-own’ beri manfaat golongan muda milik rumah
Next post BN tidak boleh terlalu selesa dalam kempen PRN Johor
Ubah saiz-+=