BN tidak boleh terlalu selesa dalam kempen PRN Johor

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

JOHOR BAHRU, 10 Mac – Barisan Nasional (BN) tidak boleh terlalu selesa dan yakin bahawa kemenangan masih akan berpihak kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, seperti mana yang dikecapi dalam beberapa siri pilihan raya kecil dan PRN Melaka sebelum ini.

Sebaliknya Pengarah Komunikasi BN Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata semua pihak termasuk calon sendiri perlu terus melipat gandakan strategi mendekati rakyat dalam tempoh kempen yang ada, agar kemenangan terdahulu dapat diterjemahkan di negeri ini.

“Walaupun kita pernah menang, kita tidak boleh selesa. Kerja kena mesti lebih kuat dan saya harap serta berkeyakinan bahawa daripada sambutan rakyat terhadap Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad, akan ada sesuatu yang baik untuk rakyat negeri ini,” kata beliau sewaktu membincangkan “Pecutan Terakhir PRN Johor” pada program Suara Johor, terbitan Bernama TV hari ini.

Shamsul Anuar berkata sebagai negeri berhampiran Singapura, Johor mempunyai potensi besar untuk terus dibangunkan terutama dari segi ekonomi namun usaha melaksanakan pembangunan itu memerlukan “ramuan” dan perancangan teliti, agar manfaatnya dirasai segenap rakyat di seluruh negeri.

Katanya kerana itu juga, BN pada PRN Johor kali ini tampil dengan manifesto “Ikhtiar BN Johor” yang realisitik kerana mahu mengembalikan semula kekuatan ekonomi dan pembangunan negeri yang telah tertangguh sejak sekian lama akibat ketidaktentuan politik.

“Saya percaya selain daripada ikhtiar yang ditawarkan, banyak lagi perkara yang telah dirancang oleh BN Johor bagi menyediakan peluang ekonomi kepada rakyat agar dapat meningkatkan taraf kehidupan,” katanya.

PRN Johor pada Sabtu ini menyaksikan seramai 2.597 juta pengundi layak mengundi dengan 173,177 daripadanya ialah anak muda berusia 18 hingga 20 tahun, yang akan menunaikan tanggungjawab mereka buat kali pertama.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

747
Kongsi :
Previous post Banci 2020, pindaan Perkara 119, antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-258
Next post Suami isteri ditemui mati terkena renjatan elektrik di bilik air
Ubah saiz-+=