Bandar Paling Bahagia: MPHTJ, MPAG perlu ikut jejak MBMB, MPJ

0
671
MPJ diiktiraf antara 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia.

AYER KEROH 1 Julai – Kerajaan negeri menggesa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) agar merangka strategi mencapai pengiktirafan Bandar Paling Bahagia di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, sasaran itu perlu dicapai seperti pengiktirafan diterima Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) menjadikan Bandar Melaka tersenarai sebagai Bandar Paling Bahagia di negara ini pada tahun lalu.

Malah, pencapaian itu juga perlu dicontohi seperti yang diterima Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dengan pengiktirafan sama dan telah meletakkan Jasin di tempat ke lapan antara 10 bandar paling bahagia di Malaysia.

Ujarnya, kedua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tersebut perlu menyahut cabaran itu dalam menjadikan Melaka sebagai negeri sejahtera menerusi kelolaan PBT.

“Saya cabar MPHTJ dan MPAG bagi menyahut seruan ini dengan menekankan aspek Melaka Sejahtera dengan kesejahteraan yang menghidupkan persekitaran terbersih, terindah, ceria, selamat dan selesa.

“Kita perlu letakkan semangat ‘the sense of belonging’ dengan menekankan semangat kekitaan, menjaga prinsip ‘Melaka Rumahku’ yang perlu diterapkan dan misi dan visi usaha ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Amanat Ketua Menteri ‘Melakaku Maju Jaya’ di Grand Ballroom MiTC di sini, pagi tadi.