Banjir: Batu Pahat masih terjejas teruk 27,774 mangsa di PPS

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Keadaan banjir di Johor menyaksikan Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 27,774 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi ini manakala daerah lain, situasi semakin pulih dengan cuaca diramalkan baik hari ini.

Jumlah mangsa banjir di Melaka pula menurun manakala Pahang kekal.

Di JOHOR, mangsa banjir meningkat sedikit kepada 40,141 orang setakat pukul 8 pagi ini berbanding 40,008 orang pada 8 malam tadi, dengan kesemua mereka ditempatkan di 202 PPS di lapan daerah.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 27,774 orang, diikuti Muar 4,080 orang dan Tangkak 2,536 orang.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 10 sungai melepasi paras bahaya antaranya Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) yang kini berada di paras 20.12 meter (m); Sungai Muar di Bukit Kepong (Muar) di paras 5.32m dan Sungai Muar di Buloh Kasap (Segamat) di paras 9.60m.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin menurun kepada 598 orang daripada 159 keluarga pagi ini berbanding 606 mangsa daripada 162 keluarga pada pukul 8 malam tadi dengan kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah membabitkan 203 orang daripada 53 keluarga.

Menurut JPBN, sebanyak 146 mangsa daripada 35 keluarga juga ditempatkan di SK Parit Penghulu, 88 mangsa daripada 22 keluarga di SK Seri Mendapat, 99 mangsa daripada 25 keluarga di SK Sungai Rambai dan 88 mangsa daripada 24 keluarga berada di SK Parit Gantong.

Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pada pagi ini kekal seperti malam tadi dengan 2,268 orang masih berada di 16 PPS.

Daripada jumlah itu, seramai 2,255 orang daripada 653 keluarga berada di 15 PPS di Rompin manakala 13 orang daripada dua keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Maran.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my turut melaporkan Sungai Keratong di Rompin masih melebihi paras bahaya pagi ini, dengan bacaan 23.78 m berbanding paras bahaya 23m yang ditetapkan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1752
Kongsi :
Previous post Kesihatan mental, inisiatif bantu pembeli rumah pertama antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini
Next post Mangsa banjir ditempatkan di PPS Melaka masih 598 orang
Ubah saiz-+=