Banjir: Empat jalan terputus hubungan, 45 orang dipindahkan di Ranau

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KOTA KINABALU, 5 Jan – Empat jalan terputus hubungan di daerah Ranau akibat kejadian hujan lebat berterusan dan banjir pada petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan jalan utama yang menghubungkan Kota Kinabalu-Sandakan di Km179.308 telah ditutup serta-merta akibat banjir.

Kenyataan itu memberitahu Jalan Marakau-Kinapulidan-Kigiuk, dan Jalan Libang-Marakau juga ditutup disebabkan banjir, manakala Jalan Kituntul Lama ditutup kerana tanah runtuh.

“Hujan berterusan lebih tiga jam telah menyebabkan beberapa kawasan kampung di daerah ini telah dinaiki air iaitu Kampung Libang, Kituntul dan Marakau.

“Susulan itu, hingga 8 pagi ini seramai 45 mangsa daripada 14 keluarga dipindahkan ke PPS (pusat pemindahan sementara) di PPS Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang dibuka pada 12.45 tengah malam tadi,” menurut kenyataan itu.

Enam lokasi di daerah itu telah dikenal pasti sebagai lokasi berisiko di daerah Ranau iaitu Kampung Libang, Marakau, Kituntul, Silou, Lasing dan Bahab.

“Pemantauan pada pagi ini mendapati kejadian banjir sudah semakin surut,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah dalam kenyataan berasingan memberitahu pengguna Jalan Kota Kinabalu-Sandakan boleh menggunakan dua jalan alternatif untuk ke destinasi masing-masing.

“Kenderaan kecil boleh menggunakan Jalan Sinarut Baru-Togudon Baru, manakala kenderaan berat di Jalan Marak Parak-Kota Marudu-Kota Kinabalu,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1964
Kongsi :
Previous post Harga petrol RON97, RON95, diesel kekal
Next post Malaysia terus kukuh untuk tarik pelaburan berkualiti – Tengku Zafrul
Ubah saiz-+=