Banjir: Paras air di Taman Sri Muda semakin surut – NADMA

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

SHAH ALAM, 22 Dis – Proses mengepam air keluar dari kawasan banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, berjalan lancar walaupun hujan lebat melanda sekitar Shah Alam awal pagi tadi.

“Pagi tadi dah surut juga walaupun hujan pukul 4 pagi,” kata Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Dr Aminuddin Hassim secara ringkas ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perkembangan proses menyedut air bah di kawasan tersebut yang bermula sejak awal pagi semalam.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latif Ahmad memaklumkan lebih 80 peratus air banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam telah disedut keluar dan dilepaskan ke Sungai Klang.

“Jika 80 peratus boleh selesai dalam 17 jam dan baki 20 peratus lagi ikut logik esok pagi boleh diselesaikan jika tidak hujan,” katanya.

Menjelas lanjut, Aminuddin berkata buat masa ini lapan pam air di dua lokasi di Taman Sri Muda beroperasi sepenuhnya manakala empat lagi pam air akan diaktifkan dalam masa terdekat bagi mempercepatkan proses sedutan air bah di kawasan berkenaan.

Sebagai tambahan untuk usaha itu katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia akan mengorek longkang di beberapa tempat bagi mempercepatkan pergerakan air untuk keluar ke sungai berdekatan.

“Air sudah surut tapi belum sepenuhnya. Masih ada air di beberapa tempat tempat di bawah paras satu kaki, kecuali di Taman Damai, Seksyen 25 yang air masih pada paras dua ke tiga kaki dan kereta biasa belum boleh melalui kawasan ini,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

596
Kongsi :
Previous post Banjir: Paras air di Taman Sri Muda semakin surut – NADMA
Next post Tragedi chalet Bentong: Mayat kanak-kanak lelaki ditemui, seorang lagi masih dicari – Bomba
Ubah saiz-+=