Tragedi chalet Bentong: Mayat kanak-kanak lelaki ditemui, seorang lagi masih dicari – Bomba

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BENTONG, 22 Dis – Mayat kanak-kanak lelaki, dipercayai antara tiga individu dikhuatiri hilang dibawa arus sungai di kawasan chalet pusat peranginan di Bentong, Pahang, pada Sabtu lepas, ditemui pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong Mohd Zamri Abdul Ghani berkata mayat kanak-kanak berusia enam tahun itu ditemui pada kira-kira 10.30 pagi.

Beliau berkata mayat berkenaan ditemui terapung dan tersangkut dalam longgokan kayu di tepi kawasan hutan berhampiran Lebuh Raya Karak menghala ke Kuala Lumpur kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

“Kami telah menemui mayat berkenaan di Kilometer 66.2,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian hari ini.

Mohd Zamri berkata operasi mencari dan menyelamat telah dimulakan pada 9.40 pagi tadi dengan kekuatan seramai 26 anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Beliau berkata identiti mangsa masih belum dikenal pasti namun bomba percaya ia adalah kanak-kanak yang dilaporkan hilang dalam tragedi itu.

“Setakat ini, kami akan memanggil ibu bapanya untuk proses pengecaman dan bomba akan meneruskan operasi bagi mencari pemilik chalet berkenaan yang dilaporkan hilang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pihaknya menggunakan khidmat dua ekor anjing pengesan K-9 untuk mengesan mangsa terakhir iaitu Bobby Lim Yoke Hoong.

Semalam, satu mayat wanita ditemui pada 10.15 pagi dikenal pasti sebagai Yap Koon Lau.

Pada Sabtu lepas, lebih 30 orang termasuk sembilan kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terkandas dengan kejadian banjir lumpur ketika mengunjungi sebuah pusat peranginan di Bentong, Pahang.

Kanak-kanak dikenali sebagai Emamnuel Chang serta pasangan suami isteri Bobby Lim Yoke Hoong dan Yap Koon Lau dilapor hilang dalam tragedi itu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1227
Kongsi :
Previous post Banjir: Paras air di Taman Sri Muda semakin surut – NADMA
Next post Banjir: Pengurusan bencana berbeza ikut lokasi, situasi – MKN
Ubah saiz-+=