Sorting by

×

Banjir: Sedia bot penyelamat di setiap DUN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER MOLEK 24 Jan – Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka perlu menyediakan kemudahan bot penyelamat sebagai langkah awal menghadapi bencana banjir.

EXCO Pengurusan Banjir negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, cadangan itu bagi membantu mempercepatkan kaedah menyelamatkan mangsa banjir di negeri ini.

“Hari ini saya menerima aset untuk JAPERUN Ayer Molek iaitu sebuah bot penyelamat yang dilengkapi peralatan menyelamat sebagai langkah awal hadapi banjir.

“Setiap DUN atau Japerun perlu ada inisiatif ini, apabila berlaku banjir di negeri Melaka berkemungkinan agensi kerajaan tidak dapat mencapai atau menyelamatkan di semua tempat.

“Ini langkah awal untuk bantu masyarakat lebih cepat lagi, kami belajar daripada kes yang lepas terpaksa tunggu lama untuk selamatkan mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima bot penyelamat DUN Ayer Molek di Kompleks JAPERUN Ayer Molek di sini, hari ini.

Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, kos untuk membeli sebuah bot penyelamat dianggarkan bernilai RM10,000.

“Untuk bot ini saya beli untuk DUN Ayer Molek dulu, saya cadangkan JAPERUN lain juga mengambil langkah yang sama, bot ini tidak mahal kosnya lebih kurang RM10,000 sahaja.

“Saya yakin kepada wakil rakyat di kawasan yang lain juga berkemampuan untuk membeli bot penyelamat seperti ini.

“Untuk keseluruhan harga termasuk semua peralatan bagi peringkat awal ini di bawah RM20,000,” katanya.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata pihaknya akan menubuhkan satu pasukan terlatih yang mengetahui cara menyelamat dan mengendali bot sewaktu kecemasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

673
Kongsi :
Previous post Kenaikan harga barang: PM akan pengerusi Mesyuarat Tindakan Sara Hidup Negara
Next post Babi hutan ancam keselamatan, tanaman penduduk
Ubah saiz-+=