Sorting by

×

Babi hutan ancam keselamatan, tanaman penduduk

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PANTAI KUNDOR 24 Jan – Kira-kira 400 penduduk di Kampung Kelongkong, di sini, hidup dalam keadaan ketakutan apabila kampung mereka menjadi lokasi ‘kunjungan’ sekumpulan babi hutan.

Penduduk mendakwa, kehadiran haiwan liar itu berlarutan sejak beberapa bulan lalu dan turut memusnahkan pagar serta tanaman penduduk.

Malah rutin harian mereka juga turut terjejas kerana tidak dapat bergerak bebas seperti sebelum ini apatah lagi bimbang akan keselamatan kanak-kanak.

RAHIMAH Kassim, 76

Menurut penduduk Rahimah Kassim, 76, berkata, kehadiran kumpulan babi hutan antara lapan hingga sembilan ekor berhampiran kediamannya amat menakutkan.

“Sejak kebelakangan ini boleh katakan hampir setiap hari ia akan keluar dari hutan berhampiran rumah, dulu hanya dua ekor kini sudah ada anak.

“Kita yang tua pun takut, ini bukan pulak kanak-kanak. Mungkin sekarang ini tidak menyerang manusia lagi tidak mustahil nanti akan datang kita tidak tahu,” katanya.

Menurutnya, tindakan segera perlu dilakukan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Bagi seorang lagi penduduk, Abu Bakar Jaapar, 65, berkata, sejak kehadiran babi hutan ini dia seakan serik untuk menanam ubi kerana sering dirosakkan haiwan itu.

“Bukan hanya pagar disondol dan dirosakkan malah pokok ubi habis dikoreknya.

“Hendak keluar rumah sekarang kena berjaga-jaga, saya nak ke kebun depan rumah ini pun bawa bersama lastik,” katanya.

Ujarnya, aduan sudah dibuat kepada Perhilitan dan dimaklumkan pihak terbabit akan memasang perangkap dilokasi yang dikenal pasti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1403
Kongsi :
Previous post Banjir: Sedia bot penyelamat di setiap DUN Melaka
Next post Kursus KLAS Farm buka peluang B40 jana pendapatan
Ubah saiz-+=