Kursus KLAS Farm buka peluang B40 jana pendapatan

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

TANJUNG BIDARA 24 Jan – Kursus Latihan Pembiakan Boer Berdayatahan 2022 memberi pendedahan kepada 100 penternak dari seluruh negara mengenai teknik pembiakan ternakan bernilai tinggi itu.

Pengarah KLAS Farm Sdn Bhd, Shafie Abdul Majid berkata, kursus dianjurkan dengan kerjasama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) itu juga mampu membawa industri penternakan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau berkata, program dianjurkan julung kali itu secara tidak langsung membuka peluang kepada penternak untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Alhamdulillah kali ini kita berjaya menghimpunkan 30 penternak B40 dari Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan Johor.

“Pendedahan dikongsikan pakar dalam pelbagai bidang mampu membuka mata penternak tempatan mengenai teknik untuk menghasilkan baka kambing berkualiti tinggi.

“Kita juga menggalakkan mereka ini untuk mengamalkan pendekatan ‘backyard farming’. Mereka boleh memanfaatkan ruang yang ada bagi menjana pendapatan meskipun hanya di belakang rumah ,” katanya.

Beliau berkata, demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Borang Kursus Latihan Pembiakan Boer Berdayatahan 2022 di Laguna Bidara Beach Resort, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden DPMM, Abdul Halim Husin dan Pengarah Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Rahim Abu.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, pihaknya bercadang untuk memperluaskan lagi program itu dalam kalangan golongan B40, sekali gus membantu mereka menjana pendapatan.

Katanya, program pendedahan itu akan turut membabitkan pebagai sektor lain agar lebih ramai usahawan di negeri ini mendapat manfaat.

“Menerusi kerjasama Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRDC), DPMM menerima peruntukan sebanyak RM5 juta untuk kita salurkan ke pelbagai program latihan buat usahawan di negara ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1809
Kongsi :
Previous post Babi hutan ancam keselamatan, tanaman penduduk
Next post Khaled Nordin sahkan tidak bertanding PRN Johor
Ubah saiz-+=