
PRN MELAKA: HELMY BAWA ‘KAD PRESTASI’ KE GELANGGANG DUYONG
DUYONG 1 November – Rekod perkhidmatan sepanjang lima tahun lalu menjadi sandaran calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dalam usaha mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N21 Duyong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Penyandang kerusi itu berkata, tempoh berkempen selama 14 hari akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membentangkan hasil kerja serta pencapaian sepanjang diberikan mandat sebagai wakil rakyat sejak PRN Melaka 2021.
Menurutnya, tempoh berkenaan memberi ruang kepada pengundi menilai sendiri segala usaha dan pembangunan yang telah dilaksanakan sebelum membuat keputusan pada hari pengundian 14 November ini.
“Sebagai penyandang DUN Duyong, pastinya prestasi sepanjang lima tahun yang lepas ini menjadi sandaran buat saya.
“Hari ini rakyat akan menilai apa yang telah terhasil dan apa yang telah diberikan sepanjang lima tahun pentadbiran di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon (PPC) DUN N21 Duyong, Kompleks Japerun Duyong, di sini, semalam.
Mengulas persaingan pada PRN kali ini, Mohd Noor Helmy mengakui calon Pakatan Harapan (PH), Poo Long Suan turut mempunyai pengalaman dalam perkhidmatan masyarakat menerusi penglibatannya sebagai Ahli Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bagi kawasan DUN Kesidang.
Bagaimanapun, beliau menyambut baik persaingan satu lawan satu itu dan menyifatkannya sebagai pertandingan sihat yang memberi peluang kepada kedua-dua calon memperkenalkan kemampuan serta pendekatan masing-masing kepada pengundi.
“Pastinya beliau (Poo Long Suan) akan memberikan cabaran dan tentangan hebat dalam persaingan sihat kita pada pilihan raya kali ini,” katanya.
Pada PRN Melaka 2021, Mohd Noor Helmy memenangi kerusi DUN Duyong dengan majoriti 200 undi selepas memperoleh 4,684 undi, menewaskan calon DAP, Damian Yeo Shen Li yang mendapat 4,484 undi.
Pada PRN kali ini, beliau bakal berdepan Poo Long Suan daripada PH-DAP dalam pertandingan satu lawan satu bagi kerusi berkenaan.
Hari pengundian awal ditetapkan pada 10 November ini, manakala hari pengundian berlangsung pada 14 November.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

