Banjir: Terpaksa berpantang di pusat pemindahan bersama bayi

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PAYA RUMPUT 3 Jan – Dua ibu muda reda apabila terpaksa berpantang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas diuji dengan musibah banjir, baru-baru ini.

Kedua-dua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kerubong.

Nik Azrin Natasha Nik Ibrahim, 20, bersama bayinya Nur Alia Umayrah Umar Qayyum berusia 11 hari dipindahkan ke PPS sejak Ahad lalu apabila kediaman mereka di Kampung Lanjut Manis, di sini dinaiki air.

Nik Azrin ketika ditemui bersyukur kerana dijaga dengan baik oleh ibu mentuanya sepanjang berada di PPS berkenaan.

“Alhamdulillah, walaupun tinggal di PPS namun ada emak dan ahli keluarga lain yang membantu menguruskan bayi saya,” katanya kepada pemberita di PPS itu.

Nur Azrin berkata, walaupun berdepan kesukaran terpaksa berpantang di pusat pemindahan, namun dia reda dan menganggapnya sebagai satu pengalaman yang tidak akan dilupakan.

AWADAH Fatin bersama bayinya berusia 14 hari yang ditempatkan di PPS SK Kerubong.

Bagi Awadah Fatin Md Baseri, 27, walaupun kurang selesa berbanding berpantang di rumah namun dia bersyukur di atas keprihatinan ramai pihak sepanjang dia berada di PPS berkenaan.

Menurutnya, dia dipindahkan ke PPS bersama tiga anak termasuk bayi perempuan berusia 14 hari dengan menaiki lori Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Saya tidak menyangka terpaksa berpantang di PPS tetapi syukur kami sekeluarga selamat dan berharap dapat pulang segera ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin mencadangkan dua wanita itu berpindah ke hotel bagi keselamatan bayi yang baru dilahirkan itu.

“Namun, ia terpulang kepada keselesaan mereka sama ada mahu berada di hotel ataupun kekal di PPS, apa jua saya akan cuba membantu sebaik yang boleh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

734
Kongsi :
Previous post Melaka terima pelaburan baharu bernilai RM1 bilion
Next post Bapa dipenjara tiga tahun dera anak sehingga lebam seluruh badan
Ubah saiz-+=