Banjir: Tiga inisiatif besar bantu koperasi

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 Jan – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah mengenalpasti 86 koperasi seluruh negara yang terjejas akibat banjir.

Pengerusi Eksekutifnya, Zazali Haron berkata, jumlah itu adalah hasil kajian data awal yang diperoleh pihak SKM dan tiga inisiatif besar diumumkan kerajaan dalam membantu koperasi yang terjejas.

Jelasnya, ia termasuk bantuan sehingga RM30,000 kepada mana-mana koperasi terjejas dan ianya perlu dipohon kepada SKM secara dalam talian.

“Permohonan boleh dibuat secara online yang disertakan gambar dan laporan polis, InsyaAllah kita akan pertimbangkan bantuan sehingga RM30,000.

“Keduanya adalah Kumpulan Wang Rizab Statutori (KWRS) iaitu mandatori dari segi akta wang lebihan koperasi kena reservekan (simpanan) dalam tabung 15 peratus kita turunkan sehingga lapan peratus sahaja jadi secara tidak langsung ianya bagi modal tunai kepada koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program 10,000 Langkah Inter Generasi anjuran PAWE UTC MELAKA dengan kerjasama Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) di Taman Rempah, Pengkalan Rama, pagi tadi.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Datuk Kalsom Nordin serta Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) Datuk Dr Abdul Fattah Abdullah.

Tambahnya, SKM turut memberi kelonggaran kepada koperasi untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan mesyuarat agung rentetan bencana banjir baru-baru ini yang menyebabkan kemusnahan dokumen penting.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

831
Kongsi :
Previous post Lebih RM5 juta bantu mangsa banjir & COVID-19 – Angkasa
Next post FAMA jamin barangan keperluan termasuk ayam dijual pada harga berpatutan
Ubah saiz-+=