Lebih RM5 juta bantu mangsa banjir & COVID-19 – Angkasa

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDARAYA MELAKA 9 Jan – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) membelanjakan lebih RM5 juta bagi membantu mangsa banjir serta COVID-19 pada sepanjang tahun 2020 dan 2021.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pihaknya telah menyantuni seramai 70,000 mangsa berkaitan yang terjejas khususnya buat ahli Angkasa.

“Untuk bencana banjir dan COVID-19, lebih RM5 juta dibelanjakan untuk tempoh tahun 2020 serta 2021 dan kami santuni sejumlah 70,000 orang pelbagai lapisan, khusus buat ahli koperasi dan sebahagian besar petugas barisan hadapan selain ahli Angkasa.

“Terbaru, kami telah sumbang barangan asas kepada mangsa banjir terlibat selain turut mengemas rumah mereka selain turun padang pantau situasi semasa mereka, ” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program 10,000 Langkah Inter Generasi anjuran PAWE UTC MELAKA dengan kerjasama Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) di Taman Rempah, Pengkalan Rama, pagi tadi.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Datuk Kalsom Nordin serta Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Zazali Haron.

Turut serta, Pengerusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka Ab Rahim Tawil dan Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) Amir Mamat.

Sementara itu, Abdul Fattah menegaskan penganjuran Program 10,000 Langkah Inter Generasi adalah sempena sambutan Jubli Emas Angkasa 50 Tahun.

Ujarnya ia adalah antara program inisiatif Angkasa dalam berkongsi informasi kepada orang awam mengenai fungsi Angkasa itu sendiri.

“Angkasa mula raikan sambutan jubli emas mulai Mei 2021 hingga Mei 2022 dan program yang diadakan adalah bagi menghubungkan Angkasa dengan masyarakat awam sejak penubuhannya pada 1971.

“Tahun ini Gerakan Koperasi Malaysia di bawah SKM akan adakan sambutan 100 tahun, jadi kita akan jadikan program sambutan 50 tahun jubli emas Angkasa sebagai antara sisipan program tersebut,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

951
Kongsi :
Previous post Bayar inisiatif ringankan beban mangsa banjir bermula esok – PM
Next post Banjir: Tiga inisiatif besar bantu koperasi
Ubah saiz-+=