Banjir: Tiga pencawang telekomunikasi talian mudah alih di Gua Musang terjejas

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

KOTA BHARU, 21 Dis – Tiga daripada 133 pencawang perkhidmatan telekomunikasi talian mudah alih di Gua Musang terjejas pada Sabtu, disebabkan banjir yang melanda di jajahan berkenaan sejak 17 Dis lalu.

Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Kelantan Abd Mubin Mohd Zain berkata tiga pencawang berkenaan telah dikenal pasti iaitu pencawang di Pos Simpor, Pos Tohoi dan Kampung Hulu di Gua Musang.

“Proses pemulihan di ketiga-tiga pencawang berkenaan akan diusahakan oleh pasukan teknikal untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Ketiga-tiga pencawang berkenaan masih tidak dapat berfungsi dan digunakan dan ia akan dipulihkan dengan segera setelah akses ke lokasi berkenaan dibuka.

“Dalam tempoh ini juga, penduduk di kawasan berkenaan berkemungkinan akan berdepan dengan sedikit kekangan untuk mendapat liputan perkhidmatan telekomunikasi, bagaimanapun liputan berkenaan tidak menjejaskan mereka di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Abd Mubin berkata pasukan teknikal yang berada di lapangan ketika ini juga sedang mencuba sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Abd Mubin berkata dua pencawang perkhidmatan telekomunikasi talian mudah alih iaitu di Kampung Serian, Gua Musang dan Kampung Sungai Chong, Kuala Krai turut mengalami masalah yang sama pada Sabtu lepas, tetapi kini kembali beroperasi sepetti sedia kala selepas dibaik pulih.

“Pihak kami akan sentiasa mengikuti perkembangan semasa situasi banjir di negeri ini dari semasa ke semasa, kerana khuatir ia akan membabitkan lebih 1,000 pencawang telekomunikasi sedia ada sekali gus boleh menjejaskan penyampaian komunikasi penduduk setempat,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

877
Kongsi :
Previous post Polis giat buru ‘Long Tiger’ – Mazlan Lazim
Next post Lenggong and Labuan recognised as national geoparks
Ubah saiz-+=