Bantuan khas Aidilfitri, bukti penghargaan kerajaan kepada penjawat awam – Cuepacs

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KUALA LUMPUR, 5 April – Pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 adalah bukti penghargaan kerajaan atas usaha keras penjawat awam dalam menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah kepada rakyat, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat.

Beliau berkata dengan pemberian itu, semua penjawat awam diharap dapat meneruskan momentum kecemerlangan dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi menjayakan agenda pemulihan ekonomi serta dasar prihatin rakyat.

“Dengan keprihatinan kerajaan ini, penjawat awam harus kekal fokus kepada tugas dan sudah pasti kerajaan menuntut kepada produktiviti dan integriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan berkata Cuepacs percaya bantuan berkenaan akan memberi manfaat dan kesan secara tidak langsung kepada ekonomi negara apabila ia dibelanjakan untuk membeli barangan keperluan khususnya di musim perayaan yang memanfaatkan peniaga kecil, pasar raya besar dan sektor ekonomi lain.

Dalam masa sama, beliau berharap semua pihak berlapang dada dan tidak mempertikaikan keputusan kerajaan memberikan bantuan itu kerana kerajaan merupakan majikan kepada penjawat awam.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, pegawai sambilan harian serta lantikan di bawah MySTEP.

Bantuan sebanyak RM250 turut diberikan kepada pesara kerajaan dan pembayaran akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji April iaitu pada 25 April ini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

704
Kongsi :
Previous post Jurukimia berputih mata, RM30, 000 lesap
Next post Malaysia runding dengan negara-negara lain supaya iktiraf sijil vaksinasi MySejahtera
Ubah saiz-+=