Malaysia runding dengan negara-negara lain supaya iktiraf sijil vaksinasi MySejahtera

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

IPOH, 5 April – Kerajaan sedang berunding dengan negara-negara besar bagi mengiktiraf sijil vaksinasi dan saringan COVID-19 Kerajaan Malaysia, sebagaimana pengiktirafan yang diberikan oleh Kesatuan Eropah (EU), bagi memudahkan pergerakan pengembara Malaysia di luar negara,

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata keputusan Suruhanjaya Eropah mengiktiraf sijil vaksinasi dan saringan COVID-19 Malaysia berkuat kuasa semalam, banyak membantu rakyat Malaysia menangani masalah ketika melakukan perjalanan, dengan menggunakan sistem Mysejahtera.

“Pengiktirafan ini amat tinggi kerana mereka melihat kepada sistem di sebalik sijil vaksinasi kita, dan mereka betul-betul berpuas hati dari segi keselamatan, kesahihan serta kemudahan yang berada pada taraf yang diperlukan EU.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang berunding dengan semua negara besar untuk destinasi-destinasi lain seperti pelancongan dan pelaburan supaya mengiktiraf Mysejahtera, malah beberapa minggu lepas saya ke United Kingdom juga tiada masalah, ia (MySejahtera) akan diterima,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula Von Der Leyen dalam kenyataan di laman sesawang EU sebelum ini berkata sijil vaksinasi dan saringan COVID-19 Malaysia menepati ‘Sistem Pengurusan Vaksin’ kesatuan itu, dianggap setara dengan yang dikeluarkan mengikut peraturan berkenaan, dan bagi membolehkan pengiktirafan itu beroperasi, Malaysia akan disambung kepada kerangka kerja Sijil COVID Digital EU yang ditubuhkan di bawah Peraturan (EU) 2021 /953.

Sementara itu Khairy berkata beliau telah dipanggil memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu Pembangunan dan Perolehan aplikasi MySejahtera pada 14 April ini.

“Bila saya dipanggil PAC, saya pergi sebab hendak beri keyakinan kepada orang ramai bahawa saya tiada apa-apa untuk disembunyikan, kerana aplikasi ini penting digunakan untuk (pengurusan) COVID-19, vaksinasi dan Pusat Penilaian COVID-19 Secara Maya (VCAC),” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1078
Kongsi :
Previous post Bantuan khas Aidilfitri, bukti penghargaan kerajaan kepada penjawat awam – Cuepacs
Next post Kampung, Taman paling ‘Ceria Raya’ berpeluang menang RM5,000
Ubah saiz-+=