Bantuan MAIM bantu bekas wartawan, mualaf jadi usahawan berjaya

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

AYER KEROH 9 Disember – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itu perumpamaan sesuai menggambarkan kisah seorang bekas wartawan yang pernah berada dalam kesusahan namun bangkit menjadi seorang usahawan berjaya.

Shazzuan Shah Mohd Saleh, 36, pernah menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap lima, namun dia membuktikan dengan usaha keras, selain sokongan pelbagai pihak dia mampu berjaya.

Kejayaannya sebagai seorang usahawan membuahkan hasil apabila diangkat sebagai penerima Anugerah Tokoh Usahawan Saidina Talhah Ibnu Ubaidillah oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Bermula dengan hanya sebuah kedai makan yang kecil saya tidak pernah putus asa untuk berjaya macam peniaga yang lain.

“Tiba-tiba pada tahun 2020 negara kita dilanda wabak COVID-19 dan diarahkan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketika itu perniagaan nasi ayam yang saya usahakan terpaksa ditutup untuk seketika.

“Tapi siapa sangka Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) tampil untuk membantu saya bangun semula dengan memberi sedikit suntikan modal perniagaan.

“Alhamdulillah berkat usaha itu membuahkan hasil sehingga kini perniagaan nasi ayam saya semakin maju dengan kepelbagaian menu,” katanya ketika ditemui pemberita, pada Majlis Apresiasi MAIM di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Terdahulu, Shazzuan Shah menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Pemilik kedai makan Nasi Ayam Abang Wan ini turut mengucapkan terima kasih kepada pihal MAIM di atas keprihatinan membantu rakyat yang terkesan sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara.

Img 20231209 Wa0033
KIM Soon menunjukkan anugerah yang diterimanya pada Majlis Apresiasi MAIM.

Sementara, penerima Anugerah Usahawan Saidina Uthman Ibnu Affan, Alex Chua Kim Soon, 49, turut memanjatkan kesyukuran kerana dibantu MAIM dalam sudut bantuan modal perniagaan.

Dia yang telah memeluk Islam pada April 2012 berkata, bantuan itu sangat membantunya kerana pernah suatu ketika dia menghadapi kesukaran sehingga tiada kemampuan untuk menampung keluarga.

“Sebelum PKP saya bekerja dengan orang, tapi selepas PKP saya terpaksa berhenti kerja dengan keadaan ekonomi ketika itu.

“Jadi saya cuba berniaga sendiri hasilkan produk kesihatan, alhamdulillah produk saya menampakkan hasil cuma waktu itu pembeli hanya dalam kalangan rakan-rakan.

“Nasib baik mereka cuba bantu saya dan promosikan produk saya kepada orang ramai, isteri juga sentiasa bagi sokongan terhadap kerjaya baharu saya ini.

“Ditambah pula dengan bantuan diberikan MAIM, maka sehingga hari ini saya sudah berjaya hasilkan pelbagai produk kesihatan sendiri,” kata bapa empat anak itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1181
Kongsi :
Previous post Akaun SSPN-i untuk anak asnaf cemerlang
Next post Acara sukan dan rekreasi warnai TMM2024
Ubah saiz-+=