Bantuan Ramadan ceriakan masyarakat Cina Muslim Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

PERINGGIT 17 April – Lebih 100 bantuan kit makanan telah diagihkan kepada komuniti Cina Muslim bagi meraikan sambutan Ramadan tahun ini.

Penasihat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Melaka, Ustaz Mohammad Leow Abdullah berkata, bantuan kali kedua diagihkan pada bulan ini mampu menyantuni masyarakat terbabit menjalankan ibadah puasa dengan penuh kesyukuran.

Beliau berkata, program tahunan yang diadakan itu sekali gus mampu mendekatkan peranan persatuan berkenaan bersama ahli terlibat bagi membantu dan menjaga kebajikan mereka.

“Saban tahun menjelang sahaja Ramadan program ini merupakan antara perkara yang akan dilaksanakan persatuan ini bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara kami.

“Malah dalam keadaan kos kenaikan harga barangan bantuan ini sekali gus mampu mengurangkan bebanan mereka dalam menjalani ibadah puasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengagihkan Sumbangan Ikhlas Sempena Ramadan kepada Ahli MACMA Melaka 2022 di Taman Peringgit, di sini hari ini.

Dalam pada itu, ujarnya persatuan yang ditubuhkan itu berfungsi dan komited bagi membantu seluruh masyarakat cina muslim di negeri ini dengan pelbagai bimbingan dan bantuan kebajikan sebagai bergelar saudara baharu.

Katanya, pelbagai aktiviti bermanfaat direncanakan sepanjang tahun bagi menyemarakkan rasa cinta kepada Islam seperti kelas agama dan pelbagai lagi.

“Malah persatuan ini juga membuka kepada orang ramai untuk menyertai kelas bahasa mandarin sekali gus mendidik mereka memahirkan diri dalam bahasa pertuturan masyarakat cina.

“Bagi kami budaya dan adat termasuk bahasa ini perlu kami kekalkan dan ia tidak akan dilupakan sewajarnya biarpun setelah kami berhijrah ke jalan yang lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

923
Kongsi :
Previous post DMDI kutuk keganasan terhadap umat Islam di Masjid Al-Aqsa
Next post Kemenangan Melaka United buka mata ramai pihak
Ubah saiz-+=