Kemenangan Melaka United buka mata ramai pihak

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

KEMENANGAN sulung Kelab Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) ke atas Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super malam tadi berjaya membuka mata ramai pihak berkepentingan.

Pemangku Jurulatih Melaka United Mohd Asri Ninggal berkata, ia berikutan walaupun dibebani pelbagai cabaran dan kemelut dalaman sebelum ini, ia membuktikan skuad Hang Tuah memiliki semangat juang luar biasa.

Katanya, meskipun ketinggalan seawal minit keempat, pemain telah menunjukkan kesungguhan dan semangat tidak mudah mengalah untuk memastikan kemenangan pertama berjaya diraih musim ini.

“Bagi saya, ia bukan kelegaan untuk saya tetapi untuk Melaka juga kerana sebelum ini kita hanya berjaya mengutip satu mata daripada empat perlawanan.

“Jadi, tugas saya ialah untuk menjaga pemain dan saya telah bercakap dengan mereka bahawa perkara paling penting ialah untuk kita menghasilkan keputusan positif.

“Bila kita dapat kemenangan ia akan membuka mata pengurusan dan ramai pihak lain dan sebab itulah fokus saya sekarang ialah untuk membantu Melaka United mengutip seberapa banyak mata yang boleh dalam aksi liga musim ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Melaka United tidak boleh lagi berada pada landasan kekalahan yang mana ia dikhuatiri bakal menjatuhkan moral keseluruhan pasukan.

Justeru, beliau memuji kebangkitan cemerlang yang dipamerkan, selain berharap keputusan positif terus dicapai dalam aksi seterusnya nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1164
Kongsi :
Previous post Bantuan Ramadan ceriakan masyarakat Cina Muslim Melaka
Next post Tiket penerbangan mahal: Jangan ambil kesempatan musim perayaan – PM
Ubah saiz-+=