Bas percuma buat golongan sasar

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

JASIN 12 April. – Kerajaan negeri bakal menyediakan perkhidmatan bas Panorama secara percuma khusus buat golongan sasar di negeri ini melibatkan 24 laluan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri Datuk Roslan Ahmad berkata, ia membabitkan golongan seperti asnaf, penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan golongan kelainan upaya (OKU).

“Ini idea baharu Ketua Menteri, kita akan perkenalkan perkhidmatan bas percuma di 24 laluan di negeri ini untuk golongan sasar.

“Sebelum ini perkhidmatan bas percuma ini hanya di tiga laluan tetapi insya-Allah selepas ini kita akan perluaskan di laluan lain khusus buat golongan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Malam Setia Bakti DUN Merlimau Tahun 2021 di Dewan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Lipat Kajang, malam tadi.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan lain-lain kenamaan.

Katanya, kerajaan negeri juga akan memperkenalkan kad baharu buat golongan sasar itu bagi memudahkan mereka menggunakan perkhidmatan percuma bas Panorama.

“Pemegang kad nanti boleh naik bas Panorama secara percuma di semua laluan, insya-Allah tahun ini kita akan perkenalkan kad itu dan seluruh rakyat Melaka yang mempunyai kad ini akan menikmati kemudahan bas percuma,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

488
Kongsi :
Previous post ‘Hati rakyat puas, itu kejayaan besar bagi saya’ – Sulaiman
Next post Pusat Darah Negara lanjut waktu operasi sepanjang Ramadan
Ubah saiz-+=