Bayi disimbah minyak panas angkara cemburu buta

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

DUYONG 12 Feb – Kejam! Angkara cemburu buta, seorang bapa tergamak menyimbah minyak panas ke arah isteri dan bayi perempuannya yang berusia empat bulan.

Suspek berusia 24 tahun dan bekerja sebagai pemotong ayam di Pasar Borong Batu Berendam merupakan bapa kepada empat anak berusia enam tahun, empat tahun, dua tahun dan empat bulan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang semalam, mangsa merupakan seorang suri rumah itu dikejarkan ke Bahagian Kecemasan Hospital Melaka bersama bayinya bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, mangsa iaitu ibu kepada bayi tersebut yang berusia 21 tahun mengalami kesan melecur di bahagian paha kiri manakala bayi tersebut mengalami kesan melecur serta terdapat bebola air di bahagian belakang pinggang, punggung serta keseluruhan kaki sebelah kiri dan kanan.

“Menurut laporan yang diterima, sebelum kejadian, mangsa sedang menggoreng ayam dan ketika itu suspek bertanyakan kepada mangsa mengenai hubungan sulit dengan lelaki lain yang saling berhubung menerusi telefon bimbit mangsa.

“Dan dalam pada itu, anak bongsu mangsa menangis, dan mangsa terus mendapatkan bayi itu, namun suspek masih tidak berpuas hati dan telah mengangkat kuali di dapur serta terus menyimbah minyak panas ke arah mangsa dan anak bongsunya itu,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Meng Seah berkata akibat dari perbuatan itu, bayi tersebut menangis menggelupur kepanasan sebelum ibu mentua mangsa datang dan membawa mangsa mendapatkan rawatan.

“Tangkapan ke atas suspek telah dilakukan di bawah Seksyen 324 kanun keseksaan dan hasil semakan mendapati suspek tiada rekod lampau,” katanya.

Meng Seah berkata, suspek direman selama empat hari bermula hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

709
Kongsi :
Previous post Mana-mana vaksin penggalak lebih baik daripada tiada – Khairy
Next post KASA kenal pasti langkah mitigasi banjir seluruh negara
Ubah saiz-+=