Bekas jurulatih MUFC kini Pengarah MSN Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 24 November – Mohd Asri Ninggal dilantik sebagai Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka berkuat kuasa 15 November lalu.

Beliau bukanlah nama asing dalam arena sukan negara dan Negeri Melaka memandangkan beliau pernah dilantik sebagai pemangku ketua jurulatih Melaka United musim 2022, selain pernah memegang jawatan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) pada 2020.

Mohd Asri berkata, pengalaman luasnya dalam sukan bola sepak, selain pengurusan dan pentadbiran sukan membuatkannya berani menyahut cabaran di dalam MSN Melaka, terutama dalam misi memacu kecemerlangan sukan negeri.

“Tidak dinafikan sebelum ini saya banyak dengan bola sepak tetapi saya juga berpengalaman luas dalam soal pengurusan dan pentadbiran sukan.

“Bagi saya ini merupakan satu cabaran untuk saya dan pada masa sama saya yakin dengan misi saya untuk membawa sukan Melaka ke satu tahap yang lebih baik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Jelas Mohd Asri, pada peringkat awal ini, beliau akan memberi tumpuan kepada 16 jenis sukan teras (core) yang berpotensi membawa kilauan pingat untuk mengetahui lebih lanjut segala keperluan dan perancangan mereka.

Pada masa sama, beliau berkata, sukan-sukan lain tidak akan diketepikan sama sekali demi memangkin kejayaan sukan-sukan yang berpotensi di negeri ini.

“Kita akan bersiap sedia lebih awal untuk menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) pada 2024 nanti.

“Walaupun tiada kejohanan sukan terdekat, tetapi kita mahu bermula lebih awal. Kita tidak mahu segala perancangan dilakukan pada saat-saat akhir.

“Sebab itulah segala program pembangunan sukan di negeri ini kita akan terus gerakkan, selain turut merangka pelbagai perancangan yang berkesan untuk atlet-atlet negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4752
Kongsi :
Previous post Anwar Ibrahim dilantik Perdana Menteri Ke-10
Next post Lampu isyarat Seri Negeri beroperasi setengah jam sehari sahaja
Ubah saiz-+=