Bekas Pengurus Kanan MAHC didakwa gagal lapor pemberian sogokan

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SHAH ALAM, 11 Okt – Bekas Pengurus Kanan Komersial, Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas sembilan pertuduhan gagal melaporkan sogokan berjumlah RM90,000 yang diberikan kepadanya.

Zulkeflee Abdullah, 54, didakwa gagal melaporkan suapan yang diberikan seorang ahli perniagaan melalui sembilan keping cek atas nama beliau.

Ia adalah sebagai dorongan mengesah, mengesyor dan meluluskan permohonan sebuah syarikat bagi sewaan tapak perniagaan secara promosi di ruang legar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Sibu dan Lapangan Terbang Bintulu di Sarawak serta Lapangan Terbang Labuan, Labuan.

Perbuatan itu telah melanggar peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana gagal melaporkan kesalahan penyogokan tersebut.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Maybank cawangan Subang Jaya, dekat sini antara April 2011 dan Ogos 2012.

Bagi kesemua pertuduhan itu, Zulkeflee didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozilah Salleh kemudian membenarkan Zulkeflee diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di pejabat SPRM yang berdekatan.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Nov ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Natrah Fareha Rahmat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1374
Kongsi :
Previous post Tarikh pembubaran DUN akan dipersembahkan kepada Raja Perlis – Azlan
Next post Gunakan kuasa memilih dengan bijak
Ubah saiz-+=