Belanjawan 2021 dijangka rancakkan kembali industri pelancongan negara

Masa Membaca:6 Minit, 55 Saat

DARIPADA pengusaha agensi pelancongan kepada menjual biskut buatan sendiri, Rosini Amal, 48, terpaksa akur dengan kesan pandemik COVID-19 yang masih mengekang industri pelancongan negara sejak Mac lalu.

Hakikatnya, banyak pakej pelancongan terpaksa dibatalkan pada saat akhir menyebabkan syarikat pelancongan Rosini yang beroperasi di Shah Alam, menanggung kerugian berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Meskipun agensi pelancongannya tidak dapat beroperasi buat masa ini, beliau masih perlu membayar sewa premis, bil utiliti serta lesen pelancongan yang menelan belanja kira-kira RM2,500 setiap bulan.

Untuk meneruskan kehidupan demi keluarga serta menampung perbelanjaan bulanan untuk premis perniagaannya, beliau menceburi bidang pastri menerusi ‘Rosie Kitchen KL’.

“Banyak agensi pelancongan terpaksa bergulung tikar kerana tidak tahan lagi untuk menampung kadar sewa dan utiliti yang mahal meskipun tidak beroperasi kerana kami dikira hilang punca pendapatan akibat PKP.

“Pembatalan tempahan dan perkhidmatan yang mendadak menyebabkan syarikat pelancongan menanggung kerugian besar, sedangkan sebelum ini pengusaha sektor ini menjadi antara penyumbang terbesar dalam menjana ekonomi negara, ” katanya kepad Bernama baru-baru ini, sambil menambah, ramai yang senasib dengannya terpaksa bertukar arah kepada perniagaan lain kerana tidak tahu bila pandemik COVID-19 akan berakhir.

Dalam masa yang sama, Rosini bersyukur terhadap peruntukan kerajaan menerusi Belanjawan 2021 bagi memulihkan sektor pelancongan negara.

Beliau berharap agar lebih banyak lagi bantuan serta peruntukan diberikan bagi meringankan beban pemain-pemain industri.

“Pelan Pemulihan Pelancongan berjumlah RM200 juta itu sangat bagus untuk memulihkan sektor pelancongan negara terutamanya pasca COVID-19, namun dengan pemberian peruntukan dan pelepasan cukai sahaja tidak mencukupi.

“Pengusaha bas persiaran dan pelancong turut mengalami kerugian teruk, ditambah pula banyak hotel yang terpaksa ditutup akibat ketiadaan pelanggan sepanjang PKP.

Beliau menjelaskan, ada pemandu pelancong yang hilang pendapatan semasa PKP tiada tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan mereka perlu diberi perhatian serta sokonngan.

MENTERI Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tengah) hari ini membawa beg yang berisi teks ucapan pembentangan Belanjawan 2021 sebelum membentangnya di Parlimen Malaysia, baru-baru ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu mengumumkan peruntukan berjumlah RM200 juta untuk Pelan Pemulihan Pelancongan, bagi membantu mereka yang terlibat dalam industri pelancongan negara.

Antara yang terkandung dalam Pelan tersebut ialah pogram latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan syarikat penerbangan di Malaysia berjumlah RM50 juta, RM50 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan, RM20 juta untuk Kampung Budaya, serta RM20 juta untuk bangunan warisan kebangsaan.

Selain itu, Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) juga mendapat peruntukan sebanyak RM35 juta dan pengecualian levi tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) selama enam bulan diberikan kepada syarikat pelancongan terjejas bermula Januari 2021 menerusi Belanjawan 2021 itu.

DILEMA PEMANDU PELANCONG, PENGUSAHA BAS PERSIARAN

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan peruntukan latihan kepada kakitangan dari syarikat penerbangan.

“Bagi pengusaha hotel yang masih mampu bertahan, mungkin mereka dapat menarik sedikit nafas lega dengan pengecualian levi tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) bermula Januari 2021.

“Tetapi bagaimana dengan kakitangan hotel yang terpaksa ditutup operasi kerana tiada bisnes? Mereka sepatutnya dibantu dan diberi layanan yang sama kerana mereka turut terkena tempias akibat COVID-19,” katanya.

PENGUSAHA bas, Md Diah Tompang, 55, memeriksa bas miliknya selepas tidak beroperasi berikutan penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjadikan usahawan di bawah sektor mereka berdepan masalah dalam perniagaan ketika ditemui di Pertam Jaya. Pixby: MR. AZLI

Menurut Mohd Khalid, pemain industri pelancongan kini bertumpu kepada Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan Penjana (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) sebanyak RM1 billion yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada bulan Jun yang lalu.

“Namun mereka merasakan seperti dipermainkan oleh pihak institusi kewangan kerana selepas lima bulan diumumkan, permohonan yang dilulluskan hanya melibatkan tiga peratus daripada dana tersebut, ” katanya.

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung (PEMBAWA), Mohamed Kaharrudin Sallehberkata, pihaknya kerugian kira-kira RM60 juta sebulan berikutan pelaksanaan PKP dan pandemik COVID-19 sejak Mac lalu.

“Apa yang kami harapkan pada Belanjawan 2021, ia dapat meringankan beban kami yang terpaksa menanggung bebanan kos ansuran bulanan 737 bas ekspres dan gaji 3,000 orang pekerja.

“Pengecualian cukai jualan bagi bas siap dalam negara yang dilanjutkan untuk tempoh dua tahun itu memang akan memanfaatkan pengusaha bas, namun kami sudahlah mengalami kerugian, banyak bas yang ada tak bergerak, memang takkan terfikir mahu menambah bas lagi,” katanya.

Beliau menambah, walaupun syarikat pengusaha bas diberi moratorium sebelum ini, namun masih tetap dikenakan caj tambahan dalam tempoh PKP.

“Kami menggesa kerajaan mengarahkan semua syarikat kewangan, institusi bank termasuk syarikat kredit dan bank kerajaan membenarkan lanjutan moratorium dengan tidak mengenakan caj faedah tambahan sehingga PKP tamat dan keadaan ekonomi negara kembali pulih.

“Ia juga bagi meringankan beban kami untuk turut menanggung kos menyelenggara bas yang tersadai dan yang beroperasi selain membantu membayar gaji pekerja,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2021, kerajaan mengumumkan, pengecualian cukai jualan bagi pembelian bas siap dalam negara akan dilanjutkan bagi tempoh dua tahun bermula tahun depan hingga 31 Dis 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif syarikat e-hailing, MyCar, Mohd Noah Maideen pula berkata, inisiatif kerajaan menerusi Geran Khas Prihatin Tambahan sebanyak RM1,000 kepada penjaja, peniaga dan pemandu teksi di Sabah, dilihat dapat membantu memulihkan kembali industri pelancongan di negeri tersebut yang teruk terjejas akibat COVID-19.

Dalam hal ini, beliau bagaimanapun berkata, kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada negeri lain kerana ramai yang kehilangan pekerjaan tetap dan beralih menjadi pemandu e-haiing.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan juga disaran memberi insentif khusus kepada pemandu serta pekerja syarikat e-hailing untuk mengikuti latihan pemasaran memandangkan mereka juga turut terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

Beliau turut berharap agar kos permit untuk setiap kenderaan e-hailing yang didaftarkan dapat dikurangkan sehingga RM30 kerana kos kini yang mencecah sehingga RM115 setiap permit sangat membebankan.

“Sehinggakan ada kenderaan tidak berpemit namun masih boleh menggunakan aplikasi e-hailing untuk mengambil penumpang.

“Jika pemandu berdaftar dengan permit, sekurang-kurangnya keselamatan kedua-dua pihak terjamin,” katanya.

PERKASA PELANCONGAN DOMESTIK ‘CUTI-CUTI MALAYSIA’

Sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia mulai akhir Disember 2019, industri pelancongan dunia berkembang pesat.

Pakej pelancongan serta tiket tambang rendah sentiasa habis terjual setahun lebih awal kerana menjadi satu trend baharu masyarakat negara ini untuk bercuti ke luar negara.

Dewasa ini, setelah hampir setahun penularan pandemik COVID-19 di negara ini, ramai pengusaha pusat pelancongan dalam dan luar negara terpaksa mengambil keputusan menutup premis masing-masing.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri ketika persidangan Dewan Rakyat pada 23 Nov lepas, mengumumkan sebanyak 204 entiti perniagaan pelancongan dan perhotelan menamatkan perniagaan sejak Mac 2020 berikutan PKP dan pandemik COVID-19.

Menurut beliau, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), jumlah itu merangkumi 109 entiti berkaitan perhotelan, resort, motel, inap desa dan chalet, manakala 95 syarikat berkaitan agensi pelancongan dan pengendali aktiviti pelancongan.

KELIHATAN pelancong domestik mula membanjir Melaka pada 12 Disember lepas. Foto MR. Azli

Industri pelancongan adalah antara penyumbang utama kepada pendapatan Malaysia iaitu 15.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara. Pandemik COVID-19 menyebabkan industri ini menanggung kerugian besar yang turut memberi impak kepada KDNK negara

Meskipun kerajaan memberi kelonggaran untuk merancakkan kembali pelancongan domestik pada bulan Jun lalu, namun permintaan masih tidak memuaska.

Justeru, di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan menerusi Belanjawan 2021, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan melaksanakan inisiatif ‘Cuti-Cuti Malaysia’ seperti diskaun destinasi pelancongan, diskaun pakej percutian luarga, penyemarakan seni dan budaya, baucar penginapan dan kempen ‘Meet in Malaysia’.

Selain memperkasakan pelancongan domestik,  ‘Cuti-cuti Malaysia’ dilihat mampu membantu pemain industri bangkit daripada kerugian besar yang terpaksa ditanggung akibat PKP.

Antara yang akan ditawarkan termasuk pakej pelancongan yang lebih kreatif dan menarik seperti menganjurkan pesta/ karnival pelancongan secara dalam talian, selain memberi keutamaan segmen yang dibenarkan oleh kerajaan seperti pelancongan kesihatan, taman tema, dan pelancongan MICE (Travel, Meeting, Incentive, Conference, Exhibition.

Kementerian itu juga turut memberikan idea baharu kepada kerajaan bagi membenarkan aktiviti pelancongan antara kawasan hijau di negara ini.

Kerjasama antara kementerian, agensi yang berkaitan, penyedia perkhidmatan sama ada awam atau swasta serta masyarakat Malaysia perlu diperkukuhkan lagi dalam membantu melonjakkan kembali ekonomi negara, khususnya sektor pelancongan.

Sebaik sahaja pandemik COVID-19 berakhir, Malaysia pastinya bersedia untuk menerima limpahan pelancong dari serata dunia. – BERNAMA

Views:

439
Kongsi :
Previous post Melaka pertingkat usaha bantu B40 miliki rumah
Next post Bekalan air mula disalurkan ke enam kawasan di Klang, Shah Alam – Air Selangor
Ubah saiz-+=