Belanjawan 2021: Inisiatif perkasa golongan wanita

Masa Membaca:55 Saat

AYER KEROH 6 Nov. – Sejumlah RM95 juta pembiayaan mikro kredit khas disediakan menerusi Belanjawan 2021 dibentangkan hari ini bagi memperkasa usahawan wanita.

Pembiayaan itu disediakan melalui TEKUN Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Agrobank.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Negeri, Datuk Wira Latipah Omar berkata, usaha itu sekali gus meningkatkan ekonomi wanita dalam amalan norma baharu.

“Sejumlah RM50 juta juga diperuntukkan di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi menyokong pembiayaan Islam melalui Ar-Rahnu BizNita.

“Tidak ketinggalan usaha memperkasa kehidupan golongan B40 dan ia wajar bagi membawa golongan terbabit keluar dari garis kemiskinan mulai tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021 di Seri Negeri, hari ini.

Hadir menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021 Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md. Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Dr. Hasim Hasan.

Jelas Latipah, peruntukan diberikan itu bagi memastikan golongan yang terbabit mampu melepasi daripada kepompong kemiskinan dalam norma baharu.

“Pembentangan belanjawan hari ini merupakan bajet untuk rakyat, secara keseluruhan dari awal hingga akhir pembentangan ia menjurus kepada kepentingan rakyat,” katanya lagi.

Views:

338
Kongsi :
Previous post COVID-19: Melaka rekodkan dua kes
Next post RM150 juta bantu Melaka atasi masalah air
Ubah saiz-+=