RM150 juta bantu Melaka atasi masalah air

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 6 Nov. – Peruntukan sebanyak RM150 juta bagi Projek Penyaluran Air Mentah dari Sungai Kesang dan Tasik Biru ke Empangan Jus Melaka dalam Belanjawan 2021 dianggap sebagai bantuan penting dalam usaha mengatasi masalah air di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, Melaka dikenali sebagai ‘Water Stress State’ semenangnya memerlukan bantuan berkenaan bagi memastikan rakyat negeri ini mendapat bekalan air yang mencukupi ketika berlakunya kemarau.

Jelasnya, walaupun peruntukan tersebut telah dipotong sebanyak 50 peratus berbanding peruntukan awal yang diminta iaitu sebanyak RM300 juta, namun Kerajaan Melaka tetap menyambut baik dan merakamkan penghargaan terhadap keprihatinan Kerajaan Persekutuan.

“Kita sudah dapat maklum lebih awal mengenai peruntukan ini yang mana sepatutnya berjumlah RM300 juta. Tetapi bila diumum RM150 juta kita tetap bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat.

KETUA Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali

“Sudah pasti Melaka sebagai negeri yang tidak mempunyai kemampuan air mencukupi amat memerlukan peruntukan ini yang diyakini dapat menyumbang kepada pemulihan air di Melaka.

“Kita akan laksanakan sebaik mungkin dan saya yakin agensi yang terlibat iaitu Badan Kawal Selia Air (BKSA) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk menguruskannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021 di Auditorium Seri Negeri, sebentar tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Seri Dr. Hasim Hasan dan barisan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri.

Terdahulu, Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukan berjumlah RM150 juta bagi Projek Penyaluran Air Mentah dari Sungai Kesang dan Tasik Biru ke Empangan Jus Melaka.

Selain itu turut diumumkan peruntukan RM20 juta bagi menambah baik infrastruktur dan mempergiat promosi Kampung Budaya Melaka yang akan turut dikongsi bersama Terengganu, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Sulaiman turut menzahirkan harapan agar Melaka menerima sebahagian daripada peruntukan RM35 juta yang diumumkan Tengku Zafrul terhadap sektor pelancongan kesihatan.

Jelasnya, sebagai negeri yang terkenal dalam pelancongan kesihatan, Melaka boleh menggunakan peruntukan tersebut untuk merancakkan sektor terbabit sepanjang tempoh pasca COVID-19.

Views:

1520
Kongsi :
Previous post Belanjawan 2021: Inisiatif perkasa golongan wanita
Next post Belanjawan 2021: OKU tidak terkecuali terima manfaat
Ubah saiz-+=