Belanjawan 2022: Melaka mohon peruntukan berbilion ringgit, keutamaan atasi banjir

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

SERI BENDAHARA 23 Okt. – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali memaklumkan, Melaka memohon sejumlah peruntukan yang agak besar mencecah bilion ringgit dalam Belanjawan 2022.

Katanya, permohonan yang dihantar ke peringkat pusat itu adalah bagi melestari dan membangunkan negeri ini khususnya dalam menangani masalah banjir seperti yang berlaku baru-baru ini.

“Kita sentiasa menghantar perkara-perkara yang ingin kita laksanakan demi pembangunan di negeri Melaka dan semuanya terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) supaya kita tidak ketinggalan dalam pembentangan yang akan diumumkan nanti.

“Sebab itu kalau minta saya bariskan nanti beratus dan jumlahnya agak besar melibatkan bilion ringgit tapi antara yang diminta adalah khusus menangani banjir yang sekarang ini jadi keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 90 kaum India anjuran Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Negeri Melaka (BISTARI) di Seri Bendahara, Ayer Keroh.

Hadir sama, Pengerusi BISTARI, Datin Seri Utama Datuk Wira Munira M Yusop dan Pengerusi MIC, Datuk MS Mahadevan.

Mengikut rekod, Bajet 2022 akan diumumkan pada 29 Oktober ini oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan menjadi teras kepada usaha pemulihan dan pembaharuan Malaysia untuk jangka panjang melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

310
Kongsi :
Previous post Muhyiddin, isteri terima suntikan dos penggalak
Next post PH bertanding di 28 kerusi DUN Melaka
Ubah saiz-+=