Belum ada kes strok haba di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 29 April – Tiada kes strok haba direkodkan di Melaka buat masa ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr. Rusdi Abdul Rahman.

Katanya, meskipun ia masih berlaku, namun rakyat di negeri ini dinasihatkan untuk terus memantau suhu persekitaran dan mengelakkan berada di tempat panas untuk tempoh yang lama.

“Kalau boleh, rakyat diminta berjaga-jaga terutama jika suhu mencecah 35 hingga 37 darjah celcius iaitu suhu yang sangat kritikal.

“Pada masa sama, rakyat juga digalak banyakkan minum air dan berehat secukupnya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Rusdi memaklumkan, antara tanda-tanda strok haba yang perlu diberi perhatian ialah hilang fokus, mengalami kekejangan, suhu badan panas dan pengsan.

Katanya, sekiranya berlaku tanda-tanda itu, orang ramai perlu segera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

“Jika ada individu yang pengsan secara tiba-tiba, kita perlu segera membuka baju dan menyejukkan badan mereka dengan air.

“Kalau ada ais, kita boleh letakkan di atas dahi, celah ketiak dan sebagainya. Ini akan membantu mangsa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kes COVID-19 di Melaka menunjukkan penurunan pada minggu ini apabila hanya 381 kes direkodkan, berbanding 552 minggu sebelumnya.

Beliau bagaimanapun, masih menyuarakan kebimbangan akan berlaku lonjakan kes jangkitan terutama membabitkan institusi pendidikan seperti tadika, sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Jadi, kita mohon jika seseorang itu mempunyai simptom agar membuat ujian terlebih dahulu dan perlu memakai pelitup muka.

“Guru-guru, pensyarah dan pihak pentadbiran istitusi juga perlu sentiasa memantau agar dan melakukan kuarantin dengan segera jika terdapat kes COVID-19 berlaku membabitkan murid dan pelajar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1062
Kongsi :
Previous post ‘Tiada jawatan, saya tetap boleh menyumbang’
Next post Lebih 20,000 ‘serbu’ Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka
Ubah saiz-+=