‘Tiada jawatan, saya tetap boleh menyumbang’

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KLEBANG 29 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong menegaskan dirinya masih boleh berkhidmat meskipun tidak dilantik sebagai Exco atau Timbalan Exco Kerajaan Negeri Melaka.

Katanya, walaupun berstatus wakil rakyat biasa, beliau masih boleh memberi sumbangan kepada rakyat di kawasan Klebang dan Negeri Melaka secara amnya.

Beliau menjelaskan, sebagai mantan Exco dan Timbalan Menteri sebelum ini, pengalaman itu boleh dicurahkan untuk bersama-sama membangunkan negeri ini pada masa akan datang.

“Saya fikir dalam keadaan sekarang sebagai wakil rakyat, semua boleh memainkan peranan sama ada bergelar Exco, Timbalan Exco mahupun Adun biasa.

“Saya masih boleh berkongsi pandangan, pengalaman dan mencurah yang terbaik untuk bersama-sama membangunkan negeri ini.

“Saya menghormati keputusan yang dibuat dan fokus saya kini ialah untuk bekerjasama di dalam satu pasukan demi rakyat dan negeri ini, kerana itulah yang paling penting,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ying Chye, Bukit Rambai, di sini, malam tadi.

Majlis rumah terbuka itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Zuriyah Abd Aziz.

Turut bersama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Adun-Adun Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1096
Kongsi :
Previous post Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka lebih mega, menarik tahun depan – KM
Next post Belum ada kes strok haba di Melaka
Ubah saiz-+=