Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka lebih mega, menarik tahun depan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 29 April – Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka tahun depan akan lebih besar dan menarik, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Katanya, penganjuran mega itu dirancang memandangkan tahun depan merupakan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Menurut beliau, penganjuran itu bakal mendapat tajaan dan lokasi sebenarnya masih belum boleh diumumkan.

“Apa saya boleh katakan tahun depan kita ada kawasan yang lebih cantik dan menarik sempena Tahun Melawat Melaka 2024.

“Ia berkonsep ‘garden’ dengan pencahayaan yang cantik dan kawasan menarik yang ada banyak tarikan pelancongan.

“Insya-Allah, tunggu sahaja tahun depan. Bersama-samalah kita membina kejayaan Melaka dan saya perlukan sokongan semua rakyat Melaka agar kita dapat meraikan kemeriahan sambutan hari raya tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abd Rahman.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Mengulas mengenai sambutan tahun ini, Ab Rauf berkata, dianggarkan lebih 20,000 pengunjung hadir pada rumah terbuka yang diadakan bermula jam 10 pagi hingga 3 petang itu.

Menariknya, beliau berkata, sambutan itu turut mencerminkan semangat Kerajaan Perpaduan apabila ia dihadiri rakyat daripada pelbagai lapisan umur, latar belakang, agama dan bangsa.

“Saya amat berbangga dan teruja kerana dalam sebuah Kerajaan Perpaduan yang dibina di Melaka, kita dapat meraikan bersama rakyat daripada pelbagai kaum dan bangsa.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir bagi meraikan hari kemenangan ini bersama-sama seluruh kepimpinan negeri,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4667
Kongsi :
Previous post Roti Canai Hari Ini jadi tumpuan di Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka
Next post ‘Tiada jawatan, saya tetap boleh menyumbang’
Ubah saiz-+=