Sorting by

×

BENANG SERAT NANAS SUMBER TEKSTIL BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDARAYA MELAKA 14 September – Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa, Melaka bakal menjadi pengeluar tekstil daripada benang serat nanas apabila usaha mengkomersialkan produk itu kini giat dilaksanakan.

Meskipun tidak dikenali secara meluas seperti sutera, tekstil diperbuat menggunakan serat nanas juga mampu menghasilkan tekstil berkualiti tinggi.

Pengarah Urusan Sky Ladder Pineapple Farm, Datuk Lee Mok Foong berkata, tekstil daripada serat nanas berpotensi besar untuk dikomersialkan sebagai bahan mesra alam dalam industri pakaian.

“Serat nanas mempunyai ciri istimewa iaitu tahan lama, ringan, selesa selain mudah terurai secara semula jadi dan ini menjadikannya sebagai bahan yang sesuai bagi pembuatan pakaian.

“Inovasi ini dilihat mampu membuka pasaran baharu dalam industri tekstil tempatan, khususnya segmen produk berasaskan bahan semula jadi dan mesra alam.

“Malah usaha ini juga dapat membantu mengurangkan pencemaran alam apabila daun yang sebelum ini perlu dilupuskan kini dimanfaatkan bagi dibuat benang,” katanya yang kini turut mengusahakan tanaman nanas MD2.

Img 20250914 003735 067
ANTARA produk berasaskan serat nanas yang dihasilkan.

Menurutnya, 300 kilogram (kg) daun nanas dianggarkan dapat menghasilkan satu kg serat kemudian dijadikan benang dan melalui proses seterusnya untuk menghasilkan kain.

“Benang diperbuat daripada serat nanas ini juga bukan sahaja sesuai untuk dijadikan pakaian seperti kemeja dan baju-T tetapi boleh juga dibuat stoking, apron dan beg silang.

“Produk tekstil berasaskan serat nanas bukan sahaja unik, malah mempunyai nilai eksklusif kerana dihasilkan daripada sumber semula jadi dan kami kini bekerjasama erat dengan Asia Tailor Malacca dalam mengeluarkan koleksi pakaian menggunakan serat nanas ini.

“Dijangka produk ini akan diperkenalkan dipasaran selewat-lewatnya pada hujung tahun atau sekiranya berkesempatan sempena berlangsungnya sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025,” katanya.

Jelasnya, meskipun memiliki ladang di Tapah, Perak dan pusat agropelancongan di Lukut, Negeri Sembilan, pihaknya memilih Melaka sebagai lokasi untuk memasarkan produk kerana yakin dengan pencapaian negeri ini yang menjadi tumpuan dunia.

“Saya juga kini dalam usaha memperluaskan tanaman nanas MD2 dengan mencari lokasi ladang tanaman yang sesuai di Melaka kerana hasil daripada ladang di Tapah hanya mampu menampung permintaan dari dalam negara sahaja

“Selain memasarkan buah segar, produk dihasilkan berasaskan nanas adalah jus dan kopi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

567
Kongsi :
Previous post PAKAI SARUNG, RASA SERUMPUN
Next post PEKERJA KUARI TERTIMBUS RUNTUHAN BATU DI RAUB