Bimbing, tingkat tahap kecintaan mualaf terhadap Islam

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

TANJUNG BIDARA 2 April – Pemantapan iman dan ibadah mualaf di Negeri Melaka sentiasa menjadi keutamaan Pertubuhan Akademi Al Bayan, sekali gus meningkatkan lagi rasa kecintaan terhadap Islam.

Pengerusi Pertubuhan Akademi Al Bayan, Datuk Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, aspek kebajikan mualaf turut diberikan perhatian agar golongan itu tidak berasa tersisih atau ketinggalan daripada menerima sebarang bentuk bantuan sama seperti umat Islam yang lain.

Dr. Nur Mohammad Hadir berkata, bagi memastikan perkara itu dilaksanakan pihaknya turut bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk jabatan agama dan agensi yang berkaitan.

“Kami umpama medan berkongsian maklumat, menyalurkan apa sahaja bentuk bantuan untuk menjaga kebajikan dan memartabatkan golongan mualaf.

“Ada dalam kalangan mualaf ini berdepan pelbagai cabaran termasuk masalah dengan keluarga dan sahabat, jadi inilah antara peranan kami, memberikan dorongan, kongsi kegembiraan dan tidak meninggalkan mereka keseorangan.

“Insya-Allah usaha ini akan terus diperkukuhkan, bukan sahaja oleh kami di Pertubuhan Akademi Al Bayan, sebaliknya banyak lagi gabungan lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Masjid Tanah di Villa D’Acqua, di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi aspek kebajikan mualaf sepanjang Ramadan pihaknya memperuntukan sebanyak RM100,000 yang diagihkan kepada 500 orang saudara baharu seluruh negara.

Jelasnya, dana hasil infak pelbaga pihak itu digunakan bagi meraikan mualaf pada majlis berbuka puasa, menyediakan kit makanan, bantuan pakaian raya dan wang tunai.

“Pada majlis kali ini seramai 80 mualaf dan 150 asnaf seluruh Melaka menerima sumbangan wang tunai dan kit makanan hasil daripada kutipan dilaksanakan pertubuhan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

141
Kongsi :
Previous post Hamidin sangkal dakwaan Pan Gon sedia tinggalkan Harimau Malaya
Next post Anugerah Hijau Melaka tawar hadiah keseluruhan RM30,000
Ubah saiz-+=