Anugerah Hijau Melaka tawar hadiah keseluruhan RM30,000

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 2 April – Anugerah Hijau Melaka (AHM) 2024 dijadualkan berlangsung 27 September hadapan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM30,000.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM), Ts. Mohd Hafizam Mustaffa berkata, AHM 2024 kali ini membabitkan empat kategori iaitu pembudayaan hijau, projek hijau, inovasi hijau dan program komuniti hijau.

Menurutnya, penganjuran AHM 2024 adalah bertujuan memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada agensi kerajaan, swasta atau komuniti melaksanakan amalan teknologi hijau untuk melindungi alam sekitar.

“Anugerah ini merupakan platform bagi menggalakkan lebih banyak inovasi dalam bidang kelestarian dengan menghasilkan solusi yang kreatif dan inovatif bagi menangani isu-isu alam sekitar.

“Penganjuran ini juga menjadi platform mengembangkan lagi jaringan perkongsian pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik dilaksanakan oleh individu, organisasi, syarikat serta komuniti.

“Setakat ini kami sudah menerima sebanyak 20 penyertaan dan sasaran lebih 40 penyertaan akan diterima sehingga tarikh tutup pada 10 Jun ini,” katanya pada sidang media AHM 2024 di Pejabat PTHM, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Panel Penilai AHM 2024, Juhari Ab Razak dan Ahli Panel Penilai, Kamarulzaman Ahamad Zainudin.

Mengulas lanjut, Ts. Mohd Hafizam berkata, pada majlis sama pihaknya akan menyampaikan Anugerah Cemerlang kepada peserta terbaik yang menawarkan hadiah wang tunai RM3,000.

“Anugerah ini diberikan kepada satu penyertaan bagi setiap kategori dipertandingkan yang mencapai tahap cemerlang. Setiap penyertaan dinilai secara teliti mengikut tahap piawaian penjurian oleh juri profesional sebelum dinobatkan sebagai penerima anugerah.

“Setiap penerima anugerah akan membawa pulang trofi, wang tunai dan sijil penghargaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

189
Kongsi :
Previous post Bimbing, tingkat tahap kecintaan mualaf terhadap Islam
Next post Penerbangan pertama jemaah haji 9 MEI – Tabung Haji
Ubah saiz-+=