Bintang bola sepak Melaka dalam pembikinan

Masa Membaca:2 Minit, 36 Saat

PAYA RUMPUT 11 Ogos – Kejohanan Bolasepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Melaka (MSSNM) Piala Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka berupaya membantu melahirkan lebih ramai bintang bola sepak di masa akan datang.

Exco Pendidikan dan Teknologi negeri Datuk Rais Yasin berkata, kejohanan itu amat penting dalam pembikinan bintang baharu memandangkan bola sepak merupakan sukan nombor satu rakyat Malaysia.

Katanya, kejohanan yang berlangsung selama empat hari bermula 8 Ogos lalu itu menampilkan hampir 2,000 atlet sekolah daripada 113 sekolah rendah dan 57 sekolah menengah di negeri ini.

“Selepas dua tahun tiada aktiviti dan kejohanan sukan fizikal berlangsung, kejohanan kali ini amat penting bagi melahirkan bintang baharu bola sepak di negeri ini.

“Insya-Allah, komitmen kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sentiasa menegaskan bahawa sukan merupakan antara elemen penting dalam perpaduan masyarakat.

“Terima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan sekolah pengelola yang berjaya menganjurkan kejohanan ini dengan jayanya,” katanya.

Aksi perlawanan akhir antara SMK Seri Kota menentang SMK Bukit Rambai sempena Majlis Penutup Kejohanan Bola Sepak MSSN Melaka Peringkat Negeri Kategori Bawah 15 & 18 Tahun di Wisma MUSA, Kompleks Sukan Hang Jebat. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Bola Sepak MSSNM Piala Exco Pendidikan dan Teknologi di Padang 10, Wisma MUSA, di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Datuk Khairi Anuar Ahmad; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Jamsari Mariman; Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid Jabatan Pendidikan Negeri Azmi Osman dan Ketua Jurulatih Remaja Negeri Rashid Mamud.

Dalam pada itu, Rais turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada Jabatan Pendidikan Negeri dan pengelola sukan bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Melaka (MSSNM).

Ujarnya, peruntukan itu disalurkan bagi pembangunan sukan bola sepak di peringkat akar umbi memandangkan kejohanan itu melibatkan atlet dalam kalangan pelajar sekolah.

“Peruntukan ini merupakan pembakar semangat untuk pihak pengelola sukan bola sepak untuk mengadakan pelbagai lagi kejohanan melibatkan sukan bola sepak ini di masa akan datang.

“Saya harap dengan penganjuran kejohanan seperti ini, ia dapat melahirkan lebih ramai atlet berkualiti untuk ke peringkat kebangsaan akan datang,” katanya.

SK Sungai Udang dinobat johan kategori Bawah 12 Tahun Kejohanan Bola Sepak MSSNM Piala Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pada kejohanan itu Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota mengungguli kategori Bawah 18 Tahun dan Bawah 15 tahun apabila dinobat johan keseluruhan, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang muncul juara kategori Bawah 12 Tahun.

Johan bagi setiap kategori membawa pulang piala pusingan, medal dan sijil pencapaian.

 

SENARAI PEMENANG

Kategori Bawah 18 Tahun:-
Johan: SSN SMK Seri Kota
Kedua: SMK Bukit Rambai
Ketiga: SMK Ade Putra & SMK Tun Tuah

Kategori Bawah 15 Tahun:-
Johan: SSN SMK Seri Kota
Kedua: SMK Bukit Rambai
Ketiga: SMK Ayer Molek & SMK Nyalas

Kategori Bawah 12 Tahun:-
Johan: SK Sungai Udang
Kedua: SK St Francis
Ketiga: SK Gangsa & SK Klebang Besar

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5048
Kongsi :
Previous post Malaysia catat kerugian RM560 juta akibat jenayah siber tahun lepas
Next post Parti liar: Datuk Seri Antara 25 ditahan di Janda Baik
Ubah saiz-+=